Pasangan P. Pinang Sanggup Bawa Anak Lakukan Maksiat Di Sg Petani

Wanita ditemui bersama anak perempuan berusia dua tahun mengakui hubungan mereka tidak direstui keluarga
SUNGAI PETANI – Ops Merdeka sekitar daerah Kuala Muda semalam membongkar perlakuan sepasang kekasih yang berkelakuan bagaikan suami isteri, bahkan didapati turut memiliki seorang anak hasil perbuatan sumbang mereka.

Pasangan itu diserbu ketika menginap di salah sebuah bilik hotel di sini, malam semalam, kira-kira jam 1.15 pagi.

Lebih mengejutkan, pasangan kekasih yang berasal dari Pulau Pinang itu mengakui tiada ikatan yang sah turut membawa ‘anak perempuan mereka’ yang dikatakan dilahirkan wanita berusia 34 tahun itu, sejak dua tahun lalu.

Hasil siasatan awal mendapati, hubungan cinta mereka tidak direstui keluarga berikutan si lelaki yang berusia 29 tahun hanya bekerja sebagai juruteknik dan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Pasangan itu bersama anak mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Petani untuk laporan sebelum dirujuk ke Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

Lebih mengejutkan, apabila serbuan di lokasi seterusnya menemui pasangan kekasih yang baru berusia belasan tahun berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel.

Biarpun diberi salam hampir 10 minit, pasangan terbabit enggan memberikan kerjasama, namun hanya membuka pintu setelah penguat kuasa memberi amaran ingin membuka pintu dari luar.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-duanya yang berperwatakan ala-ala penyanyi K-Pop menginap di bilik berkenaan bertujuan merehatkan diri dengan alasan Ady, 18, (bukan nama sebenar) demam dan sakit telinga.

Sara, 17, (bukan nama sebenar) hanya menemani teman lelakinya yang datang dari Klang, Selangor kerana tidak berpeluang bertemu di Kuala Lumpur seperti selalu memandangkan Sara perlu menduduki peperiksaan.

Kedua-duanya merupakan anak tunggal di mana ibu dan bapa Ady bekerja sebagai juruterbang pesawat dan pramugari manakala kedua ibu bapa Sara sudah bercerai dan memiliki keluarga sendiri.

Bagi menambah pendapatan, Sara bekerja sebagai model sambilan sejak berumur 14 tahun memberikan alasan terpaksa mewarnakan kesemua rambutnya menjadi putih atas tuntutan kerja.

Laporan polis mengenai tangkapan itu dibuat di Balai Polis Sungai Petani sebelum pasangan itu dirujuk ke PAD Kuala Muda bagi sesi kaunseling bersama waris/penjaga.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Osman berkata, sebanyak empat pasangan dicekup dalam Ops Merdeka melibatkan lapan dewasa dan seorang kanak-kanak.

Operasi diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin dengan kekuatan anggota seramai 31 orang.

Antara agensi yang terlibat termasuklah PAD Kuala Muda, PAD Yan, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Hasil ujian air kencing yang dikendalikan AADK mendapati sepasang kekasih yang ditahan didapati positif dadah.

“Dalam ops ini, kira-kira 30 lokasi panas digempur selain pemantauan dilakukan di kawasan aduan dan berpotensi bertujuan membanteras kegiatan maksiat sekitar daerah ini,” katanya.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 (khalwat) yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber: Sinar Harian