PDRM Hantar 10 Pegawai, Anggota Bantu Misi PBB Ke Darfur


SEPANG – Sepuluh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berlepas ke Darfur, Sudan pada 2.10 pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu.

Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman SAC Mohd Roze Shaari berkata mereka akan bertugas bagi menggantikan pasukan terdahulu yang dijangka kembali ke tanah air pada 18 Okt ini selepas berkhidmat selama 18 bulan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelepasan pegawai dan anggota itu, di KLIA, di sini malam semalam.

Ditanya mengenai situasi di Sudan ketika ini, beliau berkata keadaan di negara berkenaan masih terkawal, namun keadaan keselamatan dilaporkan masih tidak menentu.

PDRM mula bergerak aktif dalam misi PBB pada 13 Ogos 1991 dengan menghantar kumpulan pertama 14 pegawai dan anggota ke Angola.

Sejumlah 4,096 pegawai dan anggota PDRM telah berkhidmat di 13 negara untuk misi berkenaan antaranya di Cambodia, Crotia, Somalia, Kosovo dan Timor Leste. – BERNAMA