Pemandu Lori, Teksi Di Alor Setar Bantah Syarat Puspakom

Sebahagian pemandu lori dan teksi membuat bantahan di pekarangan Pasar Kampung Berjaya
ALOR SETAR – Ramai pemandu lori dan teksi membantah penguatkuasaan tarikh pemeriksaan kenderaan Puspakom yang ditetapkan sama dengan tarikh tamat tempoh cukai jalan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bandaraya Alor Setar, Othman Omar berkata, kegagalan mendapatkan kelulusan pemeriksaan Puspakom akan menjejaskan sumber pencarian rezeki kerana kenderaan itu tidak dapat diperbaharui cukai jalan.

“Dulu kalau sampai tempoh pemeriksaan Puspakom, kita pergi buat pemeriksaan terlebih dahulu. Kalau tak lulus, kita masih boleh buat pemeriksaan untuk kali kedua.

“Selepas itu kita masih ada suatu tempoh sebelum tamat cukai jalan dan boleh perbaharuinya. Maka tak ada masalah kalau tarikh itu dibuat tidak sama dengan tarikh pemeriksaan Puspakom,” katanya kepada media, kelmarin.

Menurutnya, masalah bermula apabila dikuatkuasakan tarikh pemeriksaan Puspakom adalah sama dengan tarikh tamat tempoh cukai jalan.

“Secara umumnya memang kita lihat seperti tak ada masalah, tapi sebab apa nak dibuat sama tarikh. Situasi ini rumit, lebih baik teruskan saja apa yang dilaksanakan pada sebelum ini.

“Masalah sekarang apabila pemeriksaan Puspakom tak lulus, kami perlu buat pemeriksaan kali kedua pada hari lain. Sedangkan cukai jalan juga tamat tempoh pada hari itu, macam mana kami nak bawa kenderaan itu untuk pemeriksaan pada hari berikutnya,” katanya.

Wakil pemandu lori, Chuan Yu Yeen, 66, akui mengalami nasib sama dan menjejaskan urusan hariannya.

“Kalau pemeriksaan Puspakom tak lulus, kita kena buat sampai lulus dan ambil masa. Kalau ada rosak pada bahagian mana-mana, kita kena baikinya terlebih dahulu sebelum melakukan pemeriksaan Puspakom untuk kali yang berikutnya.

“Tapi macam mana nak pergi baiki kerosakan itu kalau cukai jalan pun sudah tamat tempoh. Nanti kami sendiri yang kena saman dan sebagainya kalau masih pandu kenderaan itu, banyak masalah akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Bantuan Bertindak Kedah (PBBK), Thana Chew Ne Meng telah berhubung dengan pihak Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah untuk berbincang mengenai masalah tersebut.

Beliau menggesa permasalahan itu diambil serius oleh semua pihak yang berkaitan agar dapat memudahkan urusan orang ramai dengan memberi perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan.

“Kita nak kalau boleh mereka kekalkan ikut apa yang dibuat pada sebelum ini, tak perlu ubah apa yang dah ok,” katanya.

Sumber: Sinar Harian