Minat yang cukup mendalam terhadap sektor perternakan mendorong seorang pemuda tampil dengan idea unik untuk membawa bersama-sama haiwan ternakannya pada hari bahagianya.
Pasangan Mohd Fikri Denan, 27, dan Noor Ana Mami Johari, 29, bersanding dengan dua ekor kambing peliharaannya dalam majlis mereka pada minggu lalu di Kampung Belenggu, Pahang.
Memetik kata Fikri kepada laman berita Sinar Harian, idea kreatif untuk bersanding bersama kambing itu tercetus apabila dia memikirkan untuk mencari kelainan pada hari persandingannya.
Selain ia belum pernah dilakukan lagi oleh mana-mana pasangan pengantin di Malaysia dan mungkin di dunia.
Difahamkan pada mulanya Fikri ingin membawa lembu ke atas pelamin tetapi membatalkan hasrat itu kerana saiz lembu yang besar.
“Saya kemudian pilih kambing peliharaan kerana boleh dipangku dan naik sekali di atas pelamin ini,” katanya.
Manakala bagi pasangannya Noor Ana yang takut dengan kambing memberanikan diri setelah diyakinkan oleh suaminya.
“Memang mula-mula rasa gementar sebab tak pernah pegang kambing apatah lagi di hadapan ratusan tetamu pula.
“Alhamdulillah majlis berjalan lancar, anak kambing pula ok, memberi kerjasama baik,” jelasnya. –Kedahnews.com