Perhatian: Women #QuranHour Pada 25 September Ini

SHAH ALAM - Wanita di seluruh negara diajak beramai-ramai bagi menyertai program Women #QuranHour yang akan berlangsung Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff  berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan untuk mengajak golongan itu berinteraksi dengan al-Quran.

"Program ini memang kita fokus kepada wanita dahulu, kerana bagi kami golongan wanita merupakan elemen penting dalam keluarga, berdasarkan momentum World #QuranHour yang diadakan pada 11 September lalu, kami nampak wanita perlu diperkukuhkan dengan al-Quran jadi ini merupakan rancangan senergi iaitu pihak kami bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Apa yang hendak kita cetuskan bukan baca al-Quran sejam sahaja, tetapi berinteraksi  dengan kitab suci itu iaitu baca, faham dan amal... isu wanita banyak disebut dalam al-Quran jadi kita harap wanita kembali merujuk kepada al-Quran untuk menyelesaikan apa sahaja masalah," katanya.

Dalam pada itu, Marhaini berkata, program itu juga diadakan bersempena dengan World Muslim Women Summit And Exhibition 2016.

"Ini sebagai satu cetusan, niat kita mahu semua wanita membaca al-Quran setiap hari, bukan setakat membaca tetapi baca juga terjemahan, cari guru mengaji untuk belajar dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Marhaini berharap agar semua pihak mengambil positif penganjuran program ini dan turut memberi kerjasama.

"Kita bukan hanya hendak wanita sahaja tetapi seluruh golongan masyarakat tetapi kita semarakkan dengan wanita kerana golongan ini merupakan golongan yang penting dalam rumah tangga, jadi kita nampak wanita perlu disediakan kerana mereka bukan sahaja akan melahirkan legasi tetapi akan menjadi sebahagian pengkukuh dalam keluarga," katanya.

Sumber: Sinar Harian