Permainan Politik PAN Jejas Agama, Rakyat, Negara - PAS

KUALA LUMPUR – PAN menyifatkan Parti Amanah Negara (PAN) yang menganggotai Pakatan Harapan sanggup mengenepikan kepentingan Islam kerana terlalu rakus mahu meraih sokongan politik DAP.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Abdul Qahar Shams berkata, sememangnya pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) merupakan perkara legislatif yang diputuskan Dewan Rakyat, namun perundangan tidak boleh dipisahkan dengan Islam.

“Ini menjadi `buah’ kepada golongan sekular bagi mengasingkan urusan keduniaan dengan agama. Pandangan mufti amat penting dalam menentukan dasar dan polisi negara.

“Kerakusan politik PAN dalam meraih sokongan DAP melihatkan bagaimana rapuhnya prinsip perjuangan mereka. Maqasid Syariah meletakkan agama menandingi segalanya. Jangan hanya menang politik, kalah dakwah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas tindakan Naib Presiden PAN, Datuk Mujahid Yusof Rawa mengkritik Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad kerana menyatakan umat Islam wajib menyokong pindaan Akta 355.

Mujahid mengingatkan Mufti Wilayah Persekutuan supaya tidak menggunakan kedudukannya dalam menjatuhkan hukum wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang.

Abdul Qahar berkata, PAN diingatkan supaya berpolitik dengan matang dan rasional demi Islam, bukan dengan emosi serta berkepentingan peribadi.

“Sikap PAN yang terlalu bermain politik ini memberi kesan negatif kepada agama, rakyat dan negara,” tegasnya. -Kedahnews.com