KEDAH menepati pilihan ramai apabila mara kelompok empat terbaik Piala Malaysia 2016 selepas menyingkirkan Negeri Sembilan di peringkat suku akhir dengan agregat 5-0 di Stadium Darul Aman, di Alor Star malam tadi.
Shane Edward Smelwtz menceriakan lebih 25,000 penyokong setia tuan rumah apabila menanduk cantik hantaran Rizal Ghazali menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Syed Adney Syed Hussein untuk meletakkan Kedah di hadapan 1-0 pada minit ke-24.
Tersentak dengan jaringan itu, Hoben Jang Hoben kembali mengatur serangan dan penyerangnya, Goran Jerkovic mencuba dari jarak jauh selang empat minit kemudian tetapi mudah dibaca oleh penjaga gol Hijau Kuning, Ifwat Akmal.
Shane terus membuktikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan cukup berbisa apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-32 selepas menerima hantaran pendek Syazwan Zainon untuk meletakkan tuan rumah di hadapan 2-0.
Dua gol yang diperolehi oleh Kedah bagaikan tidak cukup buat mereka malah terus mengasak kubu lawan dengan melakukan asakan dari arah kiri dan kanan kubu lawan.
Hasilnya, Thiago Augusto Fernandes meletakkan Kedah semakin selesa dengan gol ketiga pada minit ke-37 selepas satu serangan balas melalui Syazwan Zainon yang berjaya disudahkan dengan baik penyerang Brazil itu untuk kedudukan tuan rumah di hadapan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Hijau Kuning yang mahu memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka terus garang sebaik babak kedua bermula dan Thiago menjarakkan lagi kedudukan kepada 4-0 apabila berjaya menampan bola ke dalam gol lawan hantaran Syazwan Zainon selepas empat minit separuh masa kedua bermula.
Menuju penghujung perlawanan, Liridon Krasniqi menokhtahkan malam kegemilangan Hijau Kuning apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma menarik dari jarak 20 meter untuk keputusan penuh 5-0.
Sumber: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian