PM, TPM Sediakan Jet Jika Jenazah Akan Dibawa Pulang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah menguruskan penghantaran jet ke Amerika Syarikat bagi membawa pulang jenazah Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din ke Malaysia.

Perkara itu disahkan Ahmad Zahid menerusi catatan terbaharunya dalam laman Twitter rasmi beliau hari ini.

Ahmad Zahid berkata beliau sekeluarga berasa dukacita dengan pemergian tokoh Islam negara itu dan mendoakan beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama hamba-Nya yang soleh.

“Saya sekeluarga turut dukacita atas kembalinya Datuk Dr. Harun Din. Saya bercakap dengan isteri beliau. Perdana Menteri dan saya sudah urus jet bawa jenazah pulang.

“Semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama hambanya yg soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. – BERNAMA