Polis Buru Penyebar Video Asal Nadia Nordin


Susulan dari kes belasah seorang wanita dalam keadaan bogel yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini, polis kini memburu suspek yang bertanggungjawab bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti wanita itu dan siasatan mendapati dia tidak berada di negara ini.

“Kita sedang menjejakinya. Sehingga kini, kita sudah merekodkan enam keterangan dan sedang mengumpul bukti secara dokumentasi termasuk mengenal pasti video asal itu diambil daripada telefon bimbit mana dan siapa yang bertanggungjawab menyebarkannya.

“Kertas siasatan berhubung kes berkenaan juga sudah dibuka dengan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mendatangkan cedera dan Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya, memetik laporan portal Harian Metro.

Tambah Noor Rashid, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai agar menghentikan penyebaran video viral berkenaan.


Terdahulu, sebuah video berdurasi 3 minit 27 saat memaparkan seorang wanita dipukul dalam keadaan bogel menggunakan dua botol kaca minuman di sebuah hotel menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen  yang mengecam  perbuatan  mereka yang berada dalam video itu.

Rakaman tersebut dipercayai disebarkan oleh seorang wanita warga Thailand yang dipercayai diupah oleh suspek.

Bagaimanapun, mangsa yang hanya dikenali sebagai Fatin,26 menerima lapan jahitan akibat daripada serangan suspek yang memukulnya berkali-kali di bahagian kepala.

Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa dituduh menjalin hubungan cinta dengan suami Nadia. –Kedahnews.com