Polis Tahan 24 Kaki Judi Belangkas Di Pendang


ALOR SETAR – Polis menahan 24 kaki judi belangkas serta merampas wang tunai lebih RM35,000 dalam satu serbuan di Kampung Watt, Paya Mat Insun tengah malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, SAC Mohd Nashir Ya berkata serbuan dilakukan di sebuah rumah oleh pasukan JSJ Ibu Pejabat Kontinjen Kedah diketuai ASP Azman Adnan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Pendang pada 12.30 tengah malam.

“Aktiviti judi dijalankan di kawasan berhampiran upacara kematian, di hadapan sebuah rumah di Kampung Watt, Paya Mat Insun,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam serbuan itu katanya, polis menahan 20 lelaki dan empat perempuan tempatan, masing-masing berumur antara 24 hingga 64 tahun dan merampas beberapa peralatan judi belangkas dan dadu.

Polis katanya akan memohon perintah reman untuk semua tangkapan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA