PPBM: Hanya Segelintir Saja Wanita Yang Terpengaruh - Sharifah Maznah


ALOR SETAR - Kempen keahlian Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri Kedah dilihat tidak begitu menjejaskan ahli dan penyokong Pergerakan Wanita UMNO Negeri, jelas Ketuanya, Dato' Sharifah Maznah Syed Kassim.

Tidak menafikan ada segelintir dari ahli pergerakan itu yang terpengaruh menyertai parti baru itu, namun beliau menjelaskan ia tidaklah melibatkan jumlah yang ramai seperti yang diperkatakan di media sosial.

"Dia (PPBM) ada juga (berjaya mempengaruhi), tapi hanya melibatkan sebilangan kecil.. kalau dia ada mendaftar ahli di mana pun (di Kedah), kita dapat kesan dia dari kawasan mana.

"Wanita UMNO di Kedah sentiasa bergerak... kami kerap memantau gerak kerja dan bertindak lebih pro-aktif di setiap Bahagian dan Cawangan akar umbi," jelasnya tentang ancaman yang dihadapi dari parti serpihan UMNO itu, ketika dihubungi, hari ini.

Namun walau bagaimanapun, Sharifah Maznah menegaskan bahawa ancaman kecil dari PPBM itu sebaliknya memberikan hikmah yang lebih besar pada Wanita UMNO Kedah di mana ia telah memperkukuhkan lagi perpaduan dan muafakat di kalangan ahli serta para penyokongnya.

"Bila ada ancaman begini, walaupun hanya sedikit menjejaskan, ia sebenarnya memberikan impak yang lebih positif pada Wanita UMNO di Kedah, di mana ia menyatukan kami dan memperkukuhkan lagi jati diri dan hubungan antara kami di sini," jelasnya.

Mengulas mengenai pemimpin wanita PPBM, Anina Saadudin yang giat menjalankan kempen keahlian, beliau mengatakan bahawa laporan yang diterima menjelaskan hanya segelintir ahli pergerakan itu saja yang terpengaruh menyertai parti berkenaan.

Katanya, Wanita UMNO Kedah kini semakin aktif melakukan persediaan secara menyeluruh di seluruh negeri berkenaan bagi mempersiap siaga jentera sayap parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaakob berkata, kempen keahlian yang dijalankan PPBM tetap sedikit sebanyak memberikan kesan kepada UMNO, namun beliau tidak pasti tentang jumlah sebenar wanita yang menyertai parti tersebut.

"Kesan daripada jumlah sebenar itu kita tak tahu, tapi dari hari ke hari, pengaruh mereka itu ada juga meninggalkan kesan," katanya.

Namun katanya, fokus yang lebih penting untuk diberi tumpuan adalah tentang pengaruh yang mampu mengurangkan jumlah sokongan dari kalangan wanita yang bukan ahli kepada UMNO.

"Yang lebih penting pada masa sekarang ini bukan kekurangan ahli itu, tapi kekurangan mereka yang bukan ahli menyokong parti. Yang itu kita tak dapat nak tengoklah jumlah sebenar. Kita tak tahu selagi kita tidak mengadakan pilihan raya umum," jelasnya. -Kedahnews.com.