Presiden Filipina Nafi Kejam Seperti Bashar Assad


MANILA - Presiden Filipina Rodrigo Duterte menafikan tindakannya memerangi penjenayah dadah sehingga menyebabkan hampir 2,000 terbunuh sebagai tindakan pembunuhan beramai-ramai.

Dalam pada itu ujarnya, beliau turut  menolak kata-kata sesetengah pihak yang mengaitkan tindakannya itu, sama seperti tindakan Presiden Bashar Assad di Syria dan pengganas Daesh.

"Pembunuhan beramai-ramai? Siapa yang saya bunuh. Saya tidak membunuh kanak-kanak dan tidak menggunakan bom seperti Bashar.Saya memerangi penjenayah,".

‎"Saya juga tidak membakar wanita kerana keengganan mereka mengadakan seks," katanya sempena sambutan hari Pahlawan di negara itu semalam.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 1,179 suspek dadah dibunuh dalam kempennya , termasuk 712 yang ditembak mati.

Sementara itu, Duterte turut mengulangi kesediaannya untuk dipenjarakan bagi mempertahankan anggota polis daripada tindakan undang-undang.

"Saya bersedia ke penjara untuk anda. Saya bertanggungjawab sepenuhnya, anda hanya perlu lakukan mengikut lunas undang-undang," katanya.

Katanya lagi, tetapi bagi mereka yang dalam kerajaan, baik polis, hakim dan pendakwa raya yang rasuah, akan tetap menerima balasannya.

"Tunggu sahajalah kerana hari pembalasan tetap akan tiba," katanya. - AFP