Program "1 Ayah 2 Ibu" Palsu, Kementerian Lapor Polis, SKMM


PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan menganjurkan Program Bersepadu 1 Ayah 2 Ibu yang sedang dihebahkan orang ramai menerusi media sosial.

KPWKM dalam satu kenyataan media dikeluarkan di sini berkata, kementerian itu kesal dengan penyalahgunaan nama, logo serta laman sesawang rasmi kementerian berkenaan di dalam hebahan poster tersebut.

“Poster itu sebenarnya telah mula tersebar melalui laman-laman sosial pada Ogos tahun lalu namun ia masih lagi dikesan dimuat naik oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga hari ini.

“Susulan daripada itu, KPWKM telah membuat laporan polis dan aduan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi siasatan terperinci,” kata kenyataan itu.


Difahamkan, poster palsu itu disebarkan konon sebagai usaha pihak kerajaan untuk menggalakkan suami berpoligami dan membantu ramai wanita yang masih bujang akibat sibuk bekerja agar dapat berkahwin.

Sehubungan itu, pihak KPWKM menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat palsu tersebut dan menyeru supaya berhenti untuk menyebarkan pula segala hebahan awam berkenaan kepada pihak lain.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai penyebaran poster ini kepada alamat emel info@kpwkm.gov.my,” kata kenyataan itu. –Kedahnews.com