ALOR SETAR - Desas-desus di kalangan pemerhati politik di negeri Kedah sedang hangat memperkatakan tentang kawasan sebenar yang bakal menjadi pilihan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Menurut Exco Kerajaan Negeri, Dato' Suraya Yaakob dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com baru-baru ini, beliau mengatakan Mukhriz bakal bertanding di satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU ke-14 nanti.
"Pastinya dia akan bertanding di Kedah, cuma kita tak tahu di kerusi mana sahaja.
"Saya tahu dia mesti bertanding mesti (satu) Dun, mesti (satu) Parlimen.. Di mana? Tak tahu," kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang itu, mengulas mengenai bekas Menteri Besar Kedah tersebut.
Kerusi Parlimen yang didakwa merupakan 'favorite' untuk ditandingi anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu antaranya adalah Parlimen Jerlun, Kubang Pasu dan Langkawi.
Kerusi Parlimen Jerlun dikatakan menjadi pilihan Mukhriz ekoran beliau pernah menang di kerusi tersebut pada PRU ke-12 sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri dan kemudian dicalonkan di Dun Ayer Hitam pada PRU ke-13.
Dun Ayer Hitam merupakan salah satu Dun di dalam Parlimen Jerlun. Timbul juga dakwaan yang mengatakan Mukhriz mahu 'membalas dendam' terhadap dua pemimpin UMNO Bahagian di kawasan itu yang kekal setia dengan UMNO.
Mukhriz ketika bertanding atas tiket UMNO/BN di Parlimen Jerlun pada PRU 2008, dilihat sering membawa bapanya bersama ketika berkempen. |
Selain Jerlun, khabar angin turut mendakwa Mukhriz mungkin akan bertanding di Kubang Pasu yang menjadi kubu kuat bapanya selama 22 tahun. Manakala kerusi di Langkawi pula dikaitkan dengan beliau ekoran jasa-jasa bapanya membangunkan pulau lagenda berkenaan ketika menjadi Perdana Menteri.
Namun begitu, timbul juga desas-desus lain yang mengatakan bekas Menteri Besar Kedah itu berkemungkinan akan memilih kerusi Parlimen di bahagian selatan negeri jelapang padi tersebut untuk ditandingi pada PRU ke-14 nanti.
Kerusi-kerusi parlimen di selatan Kedah seperti Merbok, Sungai Petani, Baling, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu difahamkan memberi kelebihan kepada Mukhriz untuk menang dengan mudah di sana.
Menurut pemerhati politik yang enggan dikenali, beliau menjangkakan kemungkinan besar Mukhriz bakal memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Merbok dan pada masa yang sama akan cuba mengekalkan kerusi Dun Ayer Hitam yang disandangnya.
Katanya, anak Mahathir itu mungkin membuat kejutan berkenaan tanpa disangka itu memandangkan kerusi di Parlimen tersebut yang dilihat "vulnerable" selain hanya dimenangi dengan majoriti yang agak kecil pada PRU yang lalu.
Selain itu jelasnya, Parlimen itu juga mempunyai beberapa tokoh pemimpin veteran yang disifatkan sebagai "orang kuat Mahathir" seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Sanusi Junid dan beberapa bekas pemimpin UMNO radikal yang masih setia pada bapanya.
Spekulasi tentang kerusi Dun dan Parlimen yang bakal ditandingi Mukhriz tercetus setelah beliau menjelaskan kepada media akan bertanding di negeri Kedah pada PRU ke-14 nanti, dan menafikan dakwaan kononnya beliau akan bertanding di Putrajaya. -Kedahnews.com