Putus Asa? Allah Tak Pernah Abaikan Doa Kita


PUAS berdoa, tetapi seakan tidak diterima. Pastinya ramai dalam kalangan kita pernah mengalami situasi tersebut, sehingga kadang kala membuatkan kita putus asa dan mengalah untuk terus berdoa kerana merasakannya sebagai perbuatan sia-sia.

Namun ramai yang tidak menyedari, hakikatnya pengasas pusat pengajian Bahasa Arab dan al-Quran, Institut Bayyinah, Nouman Ali Khan berkata, Allah SWT tidak pernah mengabaikan setiap doa hamba-Nya, sebaliknya sentiasa menunggu permintaan seluruh manusia.

Tambah pendakwah terkemuka antarabangsa itu, sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Rasulullah SAW) tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa kepada-Ku.” (al-Baqarah: 186).
“Menerusi ayat ini (di atas), Allah menggunakan kalimah Ujibu bukannya Astajibu. Ini kerana Astajibu bermaksud Allah akan memperkenankan doa pada masa yang ditentukan, sebaliknya Ujibu ialah Allah akan memperkenan serta merta ketika doa itu dipanjatkan.

“Ayat ini jelas memberitahu kita bahawa Allah sedang menunggu kita selaku hamba untuk meminta dan berdoa kepada-Nya. Allah juga mengatakan, tidak kira pada bila masa sekalipun, sesungguhnya Allah akan menjawab dan mendengar permohonan kita untuk dimakbulkan,” katanya.


Berasal dari Pakistan, Nouman mendapat pendidikan awal dalam Bahasa Arab di Riyadh, Arab Saudi sebelum melanjutkan pengajian agama Islam di negara kelahirannya. Meneruskan minatnya dalam bahasa Arab, beliau mendalami ilmu tersebut bersama pengasas Qiran College, Faisalabad, Pakistan, Dr. Abdus Samie.

Tambah Nouman, walaupun sentiasa melakukan dosa dan maksiat, Allah tidak pernah memilih untuk menerima doa hamba-Nya tanpa membezakan keturunan ataupun darjat.

“Sama ada dalam al-Quran atau hadis, Allah tidak pernah mengatakan dalam mana-mana firman-Nya bahawa Allah hanya menjawab atau menerima doa orang tertentu seperti orang salih, rajin beribadah, berilmu atau baik-baik sahaja. Malah, Allah tidak pernah memberi syarat apa pun untuk memohon doa kepadanya.

“Sebaliknya, walaupun doa itu kita panjatkan secara tidak sengaja, Allah mengetahui dan tidak pernah mengabaikannya. Sehinggakan kadangkala kita yang tidak menyedari doa itu telah pun diperkenankan Allah.

“Inilah juga peluang yang perlu digunakan bagi pelaku dosa untuk bertaubat, kerana pintu keampunan sentiasa dibuka seluas-luasnya. Tetapi, hanya satu iaitu keikhlasan pemohon itu sahaja diperlukan,” jelasnya.

Bagaimanapun tambah Nouman, umat Islam perlu menyedari hakikat yang tersirat dan bersikap reda dengan ketetapan Allah jika doa tidak termakbul.

“Kadangkala kita merasakan doa seperti tidak diterima Allah. Ketahuilah, sesungguhnya Allah sengaja menangguhkan atau mengubah permintaan itu kepada pemberian lain yang lebih bermakna, kerana sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah.

“Allah juga mengenali setiap hamba-Nya, lebih daripada kita mengenali diri sendiri. Oleh itu, jangan sesekali kita merasakan putus asa dengan kurniaan Allah kerana kita tidak tahu apa perancangan Allah. Jika kita yakin, pasti pertolongan Allah akan datang serta merta,” ujarnya.

Sumber: Utusan