Rakyat Usah "Cuba-Cuba" Sokong Parti Baru - Othman Aziz

ALOR SETAR – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz mengingatkan rakyat untuk tidak ‘mencuba’ menyokong parti baharu, sebaliknya perlu terus memberi kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara.

Beliau berkata amat mudah untuk mendatangkan kerosakan kepada negara, namun usaha membaiki semula keadaan akan mengambil masa yang lama.

“Mereka (pemimpin parti baharu) akan hidangkan janji untuk mengubah sesuatu sekiranya diberi mandat pada pilihan raya akan datang, namun kita takut rakyat akan digula-gulakan dengan janji yang tidak dapat ditunaikan,” katanya.

Oleh itu, rakyat perlu terus memberi sokongan kepada BN untuk meneruskan agenda dirancang demi kesejahteraan rakyat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Belian Padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di kampung Selarong di sini, hari ini.

Sementara itu, Othman yang juga pengerusi MADA berkata sebanyak 13 Pusat Belian Padi telah diwujudkan di seluruh Kedah sehingga kini bagi memudahkan petani dalam menjalankan urusan menjual hasil padi.

“Sehingga 31 Ogos lalu, hasil Pusat Belian Padi MADA bagi musim 1/2016 telah dapat memberi manfaat kepada 1,697 orang dengan memperoleh hasil belian padi yang mencapai berat bersih sehingga hampir 9,000 metrik tan,” katanya. – BERNAMA