Rasa Macam Di "Skodeng", Ainul Aishah Pindah Rumah

Demi menjamin keselamatan diri, pelakon Ainul Aishah mengambil keputusan berpindah rumah gara-gara mengalami gangguan individu misteri sejak akhir-akhir ini.

Aktres itu berkata sebelum ini dia ada menerima empat nota kecil yang mengandungi nombor telefon individu yang tidak dikenali terselit di pengelap cermin keretanya.

Memetik BH Online, Ainul atau nama lengkapnya, Ainul Aisha Azizun; 30, berkata, “Mungkin ada yang memandang remeh mengenai perkara ini.

“Tetapi, saya kerap mendapat nota kecil dan ia menunjukkan individu berkenaan tahu gerak-geri saya. Dia juga tahu adakah saya sudah berada di rumah atau tidak”.

“Malah, sebelum ini beberapa rakan yang mahu pulang selepas melepak di rumah saya turut diekori individu tidak dikenali di sekitar kondominium saya.

“Perkara itu membuatkan saya nekad mahu berpindah ke kediaman lebih selamat,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan seninya, Ainul berkata dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri yang kini ditayangkan di Astro Prima berjudul Lara Aishah.

Selain itu, dia turut menjalankan perniagaan jualan biskut secara atas talian, Ainul A. Cookies. – Kedahnews.com