IPOH – Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim kesal apabila larangan pembinaan replika berbentuk haiwan diputarbelitkan oleh media hingga mengalih isu sebenar yang diajukan kepada Jabatan Mufti Perak.
Menurutnya, larangan pembinaan replika haiwan secara sempurna itu adalah menjawab pertanyaan sebuah agensi kerajaan tempatan di negeri ini dan tidak merujuk kepada replika burung helang di Pulau Langkawi mahupun Tugu Negara.
“Sebagai sebuah jabatan yang diamanahkan untuk memberi nasihat dan panduan maka, satu panduan dan nasihat diperlukan oleh sebuah kerajaan tempatan diajukan kepada kami untuk membina sebuah replika di penempatan baharu.
“Isunya adalah isu setempat di Perak dan tidak berkaitan dengan replika burung helang di Pulau Langkawi mahupun tugu negara tetapi isu ini digunakan oleh media-media yang memutarbelitkan dan mengalihkan dari isu sebenar," katanya.
Zamri berkata, tidak timbul isu merobohkan monumen-monumen berkenaan berikutan ia di bawah kuasa pihak di negeri masing-masing.
Katanya, pihaknya menasihatkan pihak berkuasa tempatan tidak membina replika haiwan secara sempurna kecuali untuk permainan kanak-kanak atau tujuan pendidikan.
“Kalau pun cadangan itu mahu diteruskan maka hendaklah dibina dengan sifatnya yang tidak sempurna. Namun, jika monumen sedia ada tidak mahu dirobohkan, masih menjadi kewajipan pihak berkuasa negeri untuk memastikan tiada perbuatan syirik berlaku.
“Bersesuaian dengan kehendak nas-nas yang ada, juga saranan qaedah sad az zar’iah dan kalaupun ada perbincangan ulama mengenainya, maka keluar dari khilaf adalah lebih utama iaitu tidak lagi membina replika mahupun bangunan berhala di dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara,” katanya.
Sebelum ini kecoh di laman sosial dengan kenyataan Zamri berhubung tugu berbentuk burung helang. Pembinaan tugu sedemikian katanya adalah haram di sisi Islam kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup iaitu burung helang.
Sumber: Sinar Harian