Replika Helang Gergasi Di Langkawi Bakal Diroboh?

ALOR SETAR - Jabatan Mufti Kedah dilaporkan bakal mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam, sekiranya terdapat gesaan untuk merobohkan replika burung helang di Dataran Lang, Langkawi.

Timbilan Mufti Kedah Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata, hasil perbincangan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

“Kami belum melihat perkara ini, tetapi jika ada (gesaan dikemukakan), kami akan berbincang secara rasmi. Buat masa ini, mufti tak kata apa lagi dan isu ini sudah lama.

“Pihak kami akan buat perbincangan dengan majlis jawatankuasa fatwa. Di situlah kita lihat apa yang sesuai dan patut untuk dikemukakan kepada PBT,” katanya, memetik portal Free Malaysia Today (FMT).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim yang mendakwa pembinaan replika seperti itu adalah haram kerana menyerupai bentuk haiwan hidup serta patut dirobohkan.

Marwazi menambah, ketika pembinaan tugu tersebut pihak yang membuatnya tidak merujuk kepada Jabatan Agama Negeri Kedah terlebih dahulu.

“Ya, hukumnya haram semua sedia maklum cuma apabila ketika pembinaan dulu pihak berkenaan tak merujuk pada pihak berkuasa agama, mereka buat juga.

“Sekarang ni kalau nak suruh buang kena ada rundingan dan tak boleh didedahkan pada umum nanti jadi cerita lain pula,” katanya.

Dalam pada itu, reaksi netizen khususnya daripada penduduk setempat di pulau bebas cukai pula adalah sebaliknya.

“Tak tahu nak menangis atau ketawa. Di Sarawak pun ada replika kucing, nak robohkan juga ke? Jangan pula pilih kasih. Kalau nak robohkan juga, robohkan sekali Tugu Negara,” komen kebanyakan mereka. – Kedahnews.com