Replika helang di Langkawi yang baru kini mencetus kontroversi |
ALOR SETAR - Perbincangan perlu dibuat bersama banyak pihak termasuk Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah sekiranya wujud gesaan agar patung burung helang di Dataran Lang, Langkawi dirobohkan berdasarkan kepada hukum agama.
Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, Jabatan Mufti bersedia adakan perbincangan untuk mendapatkan satu keputusan dan tidak perlu terburu-buru untu robohkan binaan itu.
“Biarlah diadakan perbincangan secara rasmi terlebih dahulu, kita perlu lihat dari semua sudut, termasuk hukumnya di mana mengukir patung menyerupai manusia atau haiwan bernyawa adalah haram.
Kalau ada pihak gesa suruh buang, perlu ada rundingan dan tak boleh tergesa-gesa,” katanya.
Menurutnya, setelah memperoleh ketetapan bersama, pihaknya akan mengadakan rundingan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melihat tindakan susulan yang bersesuaian.
“Isu ini sudah lama, kini dibangkitkan semula. Kita perlu teliti perkara ini secara mendalam terutama selepas adanya gesaan,” katanya.
Syeikh Marwazi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ketika replika helang itu dicadangkan, pihak berkaitan tidak merujuk kepada Jabatan Agama Negeri Kedah terlebih dahulu.
“Ketika pembinaan tugu berbentuk helang itu dicadangkan, mungkin pihak yang mencadangkan itu tidak rujuk kepada pihak berkuasa agama mengenai keperluan dan hukumnya. Namun semua maklum bahawa sebarang tugu seumpama adalah haram,” katanya.
Dataran Lang (Dataran Helang) merupakan mercu tanda Langkawi dan merupakan tugu tumpuan pelancong terkemuka yang dibina setinggi 12 meter, menggambarkan dari mana pulau lagenda itu memperoleh namanya. Rakyat tempatan mengatakan helang sebagai satu simbol Langkawi, di mana ‘Lang’ adalah singkatan helang, manakala ‘kawi’ bermaksud perang kemerahan.
Kedudukan patung helang gergasi bersebelahan dengan pelantar jeti Kuah, dengan sayap berkepak seakan bersedia menyusur ke udara menjadikan ia satu pemandangan unik bagi pelancong ketika menjejakkan kaki ke pulau itu.
Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim sebelum ini dipetik berkata, memasang replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana menyerupai bentuk haiwan hidup dan wajar dirobohkan.
Sumber: Sinar Harian