Sah! 3 Nelayan Sabah Diculik Di Semporna

SABAH – Tiga kru anak kapal dikhuatiri diculik tujuh lelaki bersenjata berhampiran Pulau Pom Pom di perairan Semporna, awal pagi semalam.

Kesemua mangsa yang diculik disahkan bukan warga Malaysia, namun memegang status pemastautin tetap negara ini.

Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Wan Abdul Bari Abdul Khalid mengesahkan penculikan ini selepas pihaknya menerima satu laporan daripada pemilik bot tersebut kira-kira jam 1.59 pagi semalam.

“Saya hanya boleh mengesahkan telah berlaku satu kes culik di mana sebuah bot telah ditahan dan tiga orang telah diculik,” katanya yang memetik Astro Awani.

Dalam pada itu, The Star Online melaporkan, mangsa dipercayai dilarikan oleh kumpulan Kidnap For Ransom (KFR) ke arah Kepulauan Tawi-tawi, di selatan Filipina.

Penculikan itu berlaku beberapa hari selepas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melaporkan pelaksanaan operasi intensif terhadap penyeludup.

Minggu lalu, pasukan keselamatan Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan berjaga-jaga, susulan operasi menyeluruh tentera Filipina terhadap bagi membasmi kumpulan pengganas Abu Sayyaf. –Kedahnews.com