Saiful Apek Dari Pandangan Sudut Sisi Lain


Pelawak dan pelakon komedi terkenal, Saiful Apek, mengakui masih aktif dalam bidang seni meskipun kelibatnya kini semakin jarang menghiasi kaca TV mahupun layar lebar.

Menurutnya, dia kini banyak terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir yang memerlukan dia turun padang bersama-sama krew produksi untuk beberapa projek kendalian produksinya, Gitu-Gitu Productions Sdn Bhd.

“Sebenarnya memang sejak dulu lagi saya terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir, cuma sekarang ini saya lebih aktif kerana mempunyai lebih banyak masa untuk berbuat demikian. Selain menerusi lakonan dan lawak jenaka, saya kalau boleh mahu memberikan sumbangan kepada industri dengan cara yang lain juga.

“Melalui produksi sendiri, saya mahu lebih banyak menerbitkan program-program yang boleh memberi inspirasi dan motivasi kepada orang ramai. Misalnya yang terbaru saya terlibat dengan sebuah program TV yang menampilkan konsep jelajah ‘busking’.

"Saya dan team akan membuat siri persembahan ‘busking’ ke seluruh negara dengan menggunakan peralatan muzik tradisional," katanya.

Katanya, ia sesuatu yang cukup menarik untuk diketengahkan kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda yang mungkin sudah tidak berapa kenal dengan peralatan muzik tradisional ini.


Menyentuh tentang dunia lakonan, pemenang Bintang Paling Popular, ABP 2003 ini kini sedang sibuk dengan penggambaran filem KL Vampires.

Sedikit selektif dalam menerima tawaran berbanding sebelum ini, Saiful Apek, kini mahu tampil dengan sesuatu yang memberi boleh kelainan kepada dirinya.

“Suatu ketika dahulu, saya terima sahaja tawaran yang diberikan kerana faham ketika itu saya diperlukan sebagai ‘pelaris’.

"Asalkan tidak bertembung dengan jadual kerja yang lain, saya OK sahaja. Tetapi sekarang saya tidak boleh buat begitu lagi," katanya.

Jelasnya, seiring dengan pengalaman dan perjalanannya dalam bidang seni ini sudah pasti ada perkara-perkara yang perlu dititik-beratkan seperti kualiti atau nilai penampilan dan sebagainya.

“Mungkin disebabkan itulah saya kini dapat merasa untuk bawa watak-watak lain selain komedi.

"Tak sangka ada pihak yang memberi kepercayaan kepada saya untuk bawa watak-watak yang lebih serius seperti antagonis dan sebagainya," katanya.

Menurut Apek lagi, apa yang lebih menarik, dia juga kini banyak mendapat peluang untuk bekerja dengan pengarah atau produksi yang bukan Melayu.

"Rasa terharu apabila mereka tahu latar belakang kerjaya seni saya dan yakin untuk bekerjasama dengan saya.

"Peluang untuk menimba pengalaman berbeza ini membuatkan saya sentiasa rasa teruja untuk bekerja,” katanya.

Senario muncul semula

Terbaharu, ikon komedi ini juga berkongsi dirinya bakal membuat kemunculan semula bersama kumpulan Senario yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya sudah lama saya dan anggota Senario yang lain merancang untuk kembali membuat kemunculan semula.

"Namun baru tahun ini ia bakal menjadi kenyataan. Hampir setengah tahun ini saya dan rakan-rakan membuat persiapan untuk projek ini. InsyaALLAH mungkin sekitar penghujung tahun ini akan muncul dengan sesuatu yang baru buat peminat," jelasnya.

Katanya, projek ini dibuat kerana permintaan daripada peminat.

"Mungkin mereka rindukan penampilan kami suatu ketika dulu di mana ketika itu mereka membesar seiring dengan perkembangan kerjaya seni kami.

"Anak-anak saya sendiripun pernah mengatakan perkara yang serupa apabila dia sendiri rindu nak dengar lagu-lagu yang penuh motivasi daripada kumpulan Senario dulu selain-selain sitkom-sitkom yang kami jayakan,” akuinya.

Sumber: Sinar Harian