Sanggup Bayar Asalkan Dapat Rasa Hidup Di Penjara


Bagi orang normal, mereka seboleh-bolehnya  tidak mahu merasa hidup dalam penjara.

Namun agak berbeza sekali di India apabila penduduk di daerah Sangareddy dilaporkan sanggup keluar duit sendiri semata-mata terlalu teringin merasai pengalaman bermalam di penjara.

Program yang dipanggil ‘Feel The Jail’ atau rasailah penjara itu merupakan inisiatif pihak Jabatan Penjara Telangana bagi memberi satu pengalaman berbeza dengan bermalam di tempat yang ‘kurang menyenangkan’.


Sepanjang tempoh 24 jam itu, ‘tahanan’ merasai sendiri rutin seharian yang dilalui oleh banduan seperti memakai uniform penjara, makan makanan penjara di atas pinggan besi mengikut waktu makan yang telah ditetapkan.

Bayaran yang dikenakan buat bakal ‘banduan’ adalah sebanyak 502 rupee (kira-kira RM31).


Pelancong penjara ini akan dikejutkan pada jam 5 pagi oleh dua warden dan selepas mengemaskan diri mereka akan dijamukan dengan sarapan pada pukul 7.30 pagi.

‘Banduan’ akan kembali semula ke sel masing-masing tepat jam 6 petang dan rutin akan kembali seperti biasa pada keesokan harinya. –Kedahnews.com