Penulis cuba menjiwai watak Nurul Nuha Anwar. Cuba meletakkan diri dalam jiwa anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu memang sukar. Hanya isteri dan anak beranak Anwar Ibrahim saja yang memahami apa yang mereka rasa dari dulu hingga kini.
Nuha ketika itu masih ‘mentah’. Dia menikmati kesenangan dan kehidupan yang selesa ketika bapanya menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Bapanya yang bagaikan ‘anak emas’ Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu bagaikan ‘dewa yang disembah’.
Tiba-tiba segala nikmat itu direnggut dalam sekelip mata. Bapanya hilang segala jawatan dan keistimewaan. Rumahnya diserbu. Nuha melihat bapanya diheret anggota polis dan disumbat ke penjara. Dia melihat mata bapanya lebam sebelah!
Masih mentah, mungkin Nuha akan pijak gambar Mahathir jika ada di depannya. Malah mungkin gambar Mahathir akan diludah, dikahak, keronyok, disiat-siat kecil sebelum dibuang ke dalam mangkuk tandas. Mungkin hatinya puas melihat sisa gambar itu sebati dalam tong najis…
Bila kini sudah dewasa, maka sudah tentu detik-detik hitam yang melanda bapa dan keluarganya itu tidak dapat dilupakan. Melihat ibunya sugul ke hulu ke hilir cuba meraih simpati dari Madeline Albright dan sekutu-sekutu bapanya di luar negara membuat hatinya pedih.
Jadi, tidak salahlah baginya untuk mendesak Mahathir memohon maaf. Nurul Nuha tidak salah untuk menggesa Mahathir minta maaf atas segala ‘dosa’nya dulu.
Tidak salah untuk Nuha mahu Mahathir meminta ampun atas dakwaan kes rasuah dan kes liwat “yang direka-reka” terhadap Anwar yang dulu-dulu sebelum berfikir mengenai usaha menjalin sebarang kerjasama dengan bapanya, keluarganya dan parti ‘milik keluarga’nya itu.
Tapi, mahukah Mahathir memohon maaf? Sanggupkah Mahathir melayan kehendak Nurul Nuha, Nurul Izzah dan seluruh keluarga Anwar? Tergamakkah ‘negarawan ulung’ itu menjilat segala ludah dan kahak yang dihamburkan terhadap Anwar dan keluarganya?
Pada pandangan penulis, tidak mustahil Mahathir akan berbuat demikian. Demi survival politik dan kepentingan masa depan ‘darah daging’ yang membawa legasi ‘dinasti’ dan ‘kroni’nya, tidak mustahil perkara itu akan berlaku. Bukankah Mahathir terkenal dengan pelbagai ‘kejutan’ di hari tuanya?
Jika dia boleh menggenggam erat jari jemari Lim Kit Siang yang dulu puas diseranah dengan kata-kata nista, inikan pula Anwar yang pernah menjadi ‘anak emas’ yang ditimang-timangnya dulu. Penulis optimis dia sanggup berbuat demikian.
Cuma mungkin ia tidak akan dilakukan secara terbuka. Mungkin senyap-senyap dia pandu kereta ke rumah Wan Azizah untuk tunduk ‘menjilat ludah dan kahak hijau’nya dulu di depan semua ahli keluarga Anwar. Siapa tahu, bukan?
Segalanya mungkin berlaku jika dirujuk pada Mahathir di usia senjanya kini…
Sumber: myKMU.net