Sarawak Mahu Banyak Sekolah Aliran Inggeris

MIRI – Sarawak telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan lebih banyak sekolah swasta aliran bahasa Inggeris di negeri itu untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri telah mengikrarkan sokongannya bagi pewujudan lebih banyak sekolah itu, yang menumpukan terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris.

“Kami mengiktiraf keseragaman dasar pendidikan kebangsaan yang ditetapkan untuk dicapai tetapi ia tidak semestinya bermaksud perpaduan,” katanya pada majlis perbarisan bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri semalam.

Adenan berkata negeri mempunyai autonomi terhadap pendidikan dan patut diberikan kebebasan untuk memutuskan dasarnya sendiri bagi disesuaikan dengan keperluannya.

Beliau berkata kerajaan negeri mahukan lebih banyak sekolah aliran bahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini adalah lemah.

Beliau menzahirkan kebimbangan dengan anggaran lebih 20,000 siswazah dari Sarawak yang baru menamatkan pengajian akan berdepan kesukaran untuk mendapat kerja berikutan ketidakupayaan menguasai bahasa Inggeris.

“Perlu lebih praktikal, seperti Singapura dan negara-negara lain; kami belum terlambat,” katanya dan menurutnya Sarawak tidak mahu siswazah yang baru menamatkan pengajian menjadi ‘penganggur dan tidak diambil bekerja’ akibat kelemahan bahasa Inggeris.

Mengenai kemudahan pendidikan, Adenan berkata Kementerian Pendidikan perlu fokus untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang dalam keadaan daif di Sarawak kerana ada dalam kalangan sekolah berkenaan berdepan bahaya dihanyutkan air sungai akibat sering berlaku hakisan manakala lainnya ada yang tidak mempunyai bekalan elektrik atau air yang sewajarnya.

Sebanyak 80 kontinjen mengambil bahagian dalam perbarisan itu, termasuk daripada pelbagai jabatan kerajaan, badan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO). – BERNAMA