"Saya Kata PAN. SINAR Tulis Amanah..," - Nik Abduh


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, meluahkan perasaan kurang senang terhadap akhbar tempatan Sinar Harian ekoran tindakan media itu menggunakan perkataan "Amanah" sebagai singkatan kepada Parti Amanah Negara (PAN).

Tegasnya, beliau tidak pernah menyebut nama singkatan parti serpihan PAS itu sebagai Amanah kepada wartawan akhbar Sinar Harian, sebaliknya PAN.

“Saya kata PAN. SINAR tulis Amanah..,” kata anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dalam laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau turut menyiarkan keratan akhbar itu yang menggunakan perkataaan Amanah bagi merujuk kepada PAN.

Kumpulan penentang kerajaan sering menggunakan perkataan Amanah bagi merujuk kepada PAN sebagai satu psikologi politik.

PAS kelmarin menegaskan parti serpihan itu tidak sesuai dipanggil sebagai ‘Amanah’ kerana parti itu dipimpin oleh mereka yang tidak amanah.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dipetik berkata, PAN dipimpin mereka yang pernah melanggar baiah, melarikan kerusi PAS dan melanggar disiplin parti.

“Orang nak sebut amanah pun tak mahu sebab dikaitkan dengan parti itu, sedangkan amanah ini sifat Rasulullah S.A.W,” kata Che Abdullah.

PAN ditubuhkan oleh beberapa pemimpin PAS bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan.

PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana enggan tunduk kepada desakan dalam beberapa isu akidah Islam. –Kedahnews.com