Sekat Pengaruh DEASH Guna NBOS - Azmi Che Husain

Tahanan Daesh yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Baling baru-baru ini.
BALING - Semua pihak di negeri ini perlu diberi penjelasan bahaya Daesh agar pengaruh kumpulan berkenaan dapat disekat.

Timbalan Speaker Dun Kedah, Datuk Azmi Che Husain berkata, penerangan kepada masyarakat di negeri ini perlu dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh.

Menurutnya, pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) boleh digunakan bagi mengekang bahaya fahaman Daesh dari menular kepada masyarakat.

“Saya percaya masih ramai lagi yang tidak faham mengenai kumpulan Daesh, maka penerangan kepada pelajar sekolah, pusat pengajian tinggi perlu dibuat dalam jangka masa panjang.

“NBOS boleh digunakan bagi menjelaskan bahaya Daesh kepada semua, ia merangkumi pelbagai aspek dan bukan hanya untuk pembangunan negeri, tetapi ia merangkumi semua termasuk memberi penerangan kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sebelum masyarakat disedarkan, penjawat awam terlebih dahulu perlu memahami apa itu Daesh.

“Semua kena faham apa itu Daesh termasuk penjawat awam, selepas itu mereka pula bertindak memahamkan masyarakat. Jika hanya kata Daesh itu berbahaya, ahli kumpulan itu juga akan marah.

“Contohnya jika kereta dikatakan bahaya, di mana bahayanya? Pembuat kereta turut akan marah, sedangkan yang berbahaya sebenarnya adalah kemalangan,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Adun Kawasan Bayu berkata, rakyat di negeri dinasihati tidak panik dengan perkembangan Daesh di Kedah.

“Walaupun mengikut indeks, Kedah tertinggi dengan individu yang sertai Daesh, tetapi kita jangan panik, kita perlu berterusan memberi penerangan.

“Selain itu, negara ini mempunyai kakitangan polis, serah kepada pihak berkuasa untuk mengenal pasti pihak yang terlibat dengan Daesh,” katanya.

Sumber: Sinar Harian