Ieman yang terpaksa memakai mesin pernafasan 24 jam. |
KUALA KEDAH - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah dugaan dialami ibu bapa Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, sembilan bulan dari Kampung Ulu, di sini, akibat masalah pernafasan.
Nor Hidayu Halim, 27, terpaksa berdepan kritikan sebilangan masyarakat yang menyalah anggap ibu bapa sepertinya mengambil kesempatan atas penyakit anak sendiri.
“Itu tanggapan salah, bukan semua ibu bapa tergamak menggunakan wang bantuan diterima anak mereka untuk membeli barang sesuka hati.
“Malah, kami sendiri tidak menggunakan wang sumbangan sembarangan, sebaliknya semua khas untuk keperluan Ieman semata-mata,” katanya.
Kata Hidayu, mereka sebenarnya menggunakan wang hasil titik peluh suaminya yang menjual air kelapa, Abdul Rahim Ismail, 31, untuk keperluan lain mereka.
Katanya lagi, dia sudah tidak kisah apabila ada yang buruk sangka ataupun mengata mereka sekeluarga kerana mereka tidak pernah melakukan perkara sebegitu.
Selain Ieman yang mengidap masalah jantung, paru-paru, sawan dan asma, dia memiliki anak kurang upaya, Ahmad Hafizy, 9, dan Ahmad Amirul Amin, 6.
Menurutnya, perkara sedemikian dianggap dugaan kepada mereka yang memiliki anak sakit, apatah lagi turut memiliki anak syurga kerana abang Ieman merupakan orang kurang upaya.
“Antara dugaan, ada ketika di waktu malam, muka dia akan kebiruan disebabkan mesin pernafasan yang rosak," katanya.
Jelasnya, dia sememangnya tidak dapat menerima dugaan menjaga anak yang sakit pada peringkat awal, tambahan pula turut berdepan masalah kewangan.
Akan tetapi, Hidayu berkata, dia bersyukur kerana keadaan anak lelaki kini dilihat semakin baik manakala adik Ieman pula kerap mengalami muntah sahaja.
"Saya mula tabah mengharungi dugaan ini memandangkan suami dan keluarga memberi sokongan untuk menjaga anak ," katanya.
Sebelum ini, kisah seorang bayi yang mengidap empat penyakit kronik terpaksa bergantung kepada mesin pernafasan 24 jam untuk bernafas pernah disiarkan akhbar ini.
Difahamkan, keluarganya tidak mampu membiayai kos rawatan anak bongsu mereka memandangkan gaji bapanya tidak menentu, manakala si ibu tidak bekerja.
Sumber: Sinar Harian