UMAT Islam melontar di Mina sebagai manifestasi melawan hawa nafsu dan memperingati perjalanan Nabi Ibrahim semasa menunaikan perintah Allah. - GAMBAR HIASAN |
Jika gunung yang ditimpa ujian sehebat ini, pun boleh runtuh berderai. Setelah lama kesepian dan terbuang, doa baginda agar dikurniakan anak dimakbulkan Allah. Firman Allah:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang soleh!” Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar,” (al-Safffat [37:99-101]).
Penungguan kelahiran Nabi Ismail a.s. pula bukan sekejap tetapi sangat lama. Sehingga mencecah usia tua. Ia difahamkan daripada lafaz syukur Nabi Ibrahim a.s. yang difirmankan Allah ini:
“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan,” (Ibrahim[14:39]).
Kita boleh bayangkan betapa gembiranya hati Nabi Ibrahim a.s. yang jauh dalam buangan dengan kelahiran Ismail a.s. Walaupun hilang keluarga yang bergelumang dengan karat syirik, kini Allah menggantikannya dengan anak yang soleh seperti Ismail. Sudah pasti anak ini menjadi permata hati yang sangat berharga, tambahan pula lahirnya ketika Nabi Ibrahim berada pada usia tua.
PENGORBANAN TERHEBAT
Kita boleh lihat dalam masyarakat, datuk yang sudah berusia biasanya sangat cintakan cucu. Si ayah seakan hilang kuasa ke atas anak apabila datuk melangkah masuk. Apa sahaja kehendak cucu dipenuhi tanpa tangguh. Inilah darjat “rasa cinta” Nabi Ibrahim kepada Ismail.
Di tengah kegembiraan ini, Allah sekali lagi menguji baginda dan ujian kali ini mampu menggugurkan jantung. Anak kesayangan mesti dikorbankan:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku bermimpi menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”.“Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu daripada hamba Kami yang beriman,” (al-Safffat [37:102-111]).
Sumber: Utusan