ALOR SETAR - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa supaya Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) "menyuluh" diri terlebih dahulu dari mempertikai pencapaian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Tegas beliau, Mukhriz tidak rasional dan diluar batas kewajaran untuk mempersoal kononnya Ahmad Bashah tidak berbuat apa-apa sejak dilantik ke jawatan Menteri Besar, sedangkan Mukhriz sendiri gagal menjadi Menteri Besar dalam tempoh 2 tahun.
"Dato' Seri Mukhriz perlu suluh dirinya terlebih dahulu. Dalam tempoh 2 tahun lebih menjadi Menteri Besar, apa pula yang dia sudah buat? Datuk Ahmad Bashah baru 7 bulan dilantik menjadi Menteri Besar, apa yang Mukhriz cuba pertikaikan dengan tempoh begitu singkat?
"2 tahun jadi Menteri Besar dan 7 bulan jadi Menteri Besar. Adakah wajar diukur perbezaan tentang pencapaian kedua Menteri Besar itu?
"Ini adalah kenyataan yang berbaur politik. Kenyataan yang tidak ada keikhlasan. Kenyataan dendam. Kenyataan memancing undi. Mukhriz tidak ikhlas...itulah sebenarnya," tegas beliau ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.
Menyingkap kembali punca Mukhriz digugurkan dari jawatan Menteri Besar, Shaiful Hazizy menjelaskan tentang kegagalan anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam memastikan konsep parti yang memerintah kerajaan dilaksana dengan baik.
Kata beliau, terlalu banyak teguran membina dan kritikan terhadap Mukhriz dibuat secara tertutup supaya beliau menjadi Menteri Besar yang lebih baik, namun tidak diendahkan dan lebih gemar membuat sebarang keputusan dengan membelakangkan muafakat di kalangan barisan kepimpinan negeri.
"Gerak kerjanya terlalu perlahan, kita nampak dia tidak serius menangani isu-isu parti, kita jmelihat gerak kerjanya untuk melunaskan janji-janji pilihan raya juga tidak signifikan. Jadi kita perlu membuat keputusan tersebut demi rakyat dan parti, demi pengundi kita.
"Walaupun kita sedari mungkin ada implikasi negatif, pandangan serong segelintir dari rakyat pada kita, ia merupakan satu keputusan sukar yang kita perlu buat. Dalam politik kita kena buat keputusan, kita kena ada pendirian.
"Jadi ketika itu semua Ketua-Ketua Bahagian, semua Ketua-Ketua sayap pada waktu itu, sebahagian besar Adun dan Ahli Parlimen dari parti kita telah pun menetapkan pendirian perlu lakukan keputusan sukar itu demi rakyat dan parti.
"Mukhriz perlu ditukar dan Perdana Menteri perlu memilih salah seorang yang layak untuk menggantikan beliau. Secara dasarnya Datuk Seri Ahmad Bashah telah dipilih oleh Perdana Menteri untuk merubah dan memperbaiki keadaan sebelum ini.
"Itu asas pertukarannya," katanya mengimbas kembali punca sebenar tentang keputusan BN melakukan pertukaran jawatan Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri membabitkan Mukhriz dan Ahmad Bashah, yang merupakan Timbalannya ketika itu.
Justeru itu, Shaiful Hazizy meminta supaya Mukhriz usah risau tentang prestasi Ahmad Bashah yang jauh lebih mengenali "Kedah" berbanding dirinya yang terbawa-bawa dengan gaya hidup aristokrat dan bangsawan elitis.
Sebaliknya, Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah itu juga menyindir Mukhriz lebih fokus kepada parti barunya, PPBM, dari menyibuk tentang kerja dan tanggungjawab yang digalas Ahmad Bashah. -Kedahnews.com