Sikit-Sikit Anak Muda? Teruk Sangatkah Anak Muda Kita?

INGATKAN menjelang Hari Raya Haji adalah pandangan baik untuk anak muda. Paling tidak kata-kata semangat.

Tetapi akhirnya Wal Hasil Balik Asal.

Sesuatu yang sangat mengejutkan apabila mendengar ceramah ustazah tersohor di radio pagi ini. Dalam tazkirah menjelang ibadah korban, setengah mati ditalanya anak muda. Dalam luas topik korban, yang dipilihnya ialah mengaitkan anak muda terutama gadis dengan budaya kesia-siaan mengorbankan maruah diri untuk teman lelaki.

“Pengorbanan bukan menyerahkan tubuh kepada ‘boyafren’ (boyfriend),” katanya.

Ini satu kelangsungan kolot pada agamawan terhadap anak muda. Satu warisan pandangan prejudis dan sentiasa melihat dalam konteks agama, pendosa ialah anak muda. Bayangkan… punya luas semangat Hari Raya Korban anak muda juga yang dicirikan sebagai yang tidak celik agama dan pemaksiat.

Hari ini pendosa tidak relatif pada anak muda sahaja. Pemaksiat pun tidak semata-mata relatif anak muda. Penghuruhara agama dan perosak nilai Islam kebanyakkan orang lama. Malah agamawan yang paling teruk mengharu-birukan kestabilan Islam sebagai agama persaudaraan.

Baca akhbar. Yang sengit berkelahi dan berperang hal remeh-temeh pasal Islam ialah orang agama. Mereka para agamawan yang tua dan sangat dewasa umurnya.

Para agamawan! Sila lihat realiti. Jangan pejam mata dan asyik mengulang benda-benda yang sakit telinga kita mendengarnya.

Balik-balik anak muda itu pendosa! - mynewshub.cc

Kedahnews.com says: Harapan kami agar pendakwah, agamawan, pemimpin atau sesiapa saja yang mahu nasihat, tegur, berdakwah atau berniat mahu mengubah sesuatu kepada yang lebih baik, adalah lebih wajar menggunakan cara islam.

Islam menganjurkan umatnya memberi teguran dengan cara yang berhikmah dan bijaksana supaya ia dapat memberi kesan yang positif kepada golongan atau individu yang ditegur.

Misalnya, memaki hamun seseorang itu hanya akan menyakitkan hati dan sekiranya cara itu digunakan untuk menegur supaya seseorang itu berubah, maka mungkin pemberi teguran itu akan dijawab dengan kata-kata kesat atau mungkin ada yang 'lebam mata'.

Sebaliknya, jika kita menggunakan akal fikiran untuk menegur seseorang itu dengan bijaksana, maka mungkin dia akan berubah dan jika tidak berubah sekalipun, maka tidaklah 'lebam biji mata'. Sekurang-kurangnya, tanggungjawab menegur sudah terlaksana.

Apapun, perlu diingat bahawa menegur seorang adik tidak sama menegur seorang ibu, dan menegur anak murid pula tidak sama caranya menegur atau berdakwah kepada seorang pemimpin atau guru.

Kerana itulah Allah SWT memberikan kita akal untuk berfikir dan mencari jalan untuk menegur sekiranya kita melihat rakan, adik, saudara mara, ibu bapa, pemimpin malah musuh yang melakukan dosa serta kesalahan. Wallahu'alam. -Kedahnews.com