Simpan Surat Sultan Kedah Berusia 135 Tahun

Faridah (tiga, kiri) menerima kitab lama dari penduduk, Asryad Moktar untuk dinilai sebagai bahan sejarah.
ALOR SETAR - Arkib Negara Malaysia (ANM) menyimpan dan memelihara kumpulan surat-menyurat Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang diiktiraf bahan warisan dunia Unesco dianggarkan berusia 135 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah ANM, Faridah Ishak berkata, bahan terawal berkaitan Kedah berkenaan bertarikh seawal tahun 1881 telah disimpan di Arkib Negara.

“Melalui surat itu, kita dapat mengetahui maklumat tentang hubungan antara Sultan Abdul Hamid dengan pemerintah Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura, serta Residen Inggeris di Perak dan Selangor.

“Hal ini disebabkan Baginda menulis surat-menyurat berkenaan sendiri kepada raja dan pembesar-pembesar Siam,” katanya dalam Program Pemerolehan dan Pemeliharaan Bahan Sejarah di Negeri Kedah anjuran Arkib Negara, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Arkib Kedah/Perlis, Shafie Awang dan Pengerusi Persatuan Sejarah Cawangan Malaysia Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusoff.

Faridah berkata, kumpulan surat-surat berkenaan dikatakan kaya dengan maklumat yang memberi gambaran mengenai sosial budaya masyarakat ketika pemerintahan baginda.

"Kekayaan warisan ini membolehkan pihak Unesco memberi pengiktirafan dan mengangkat ia sebagai bahan warisan dunia pada tahun 2001," katanya.

Manakala, katanya, pihak Arkib telah memelihara 23,794 unit bahan berkaitan Kedah yang disimpan di Ibu Pejabat Arkib Negara Kuala Lumpur, manakala 86,954 unit tersimpan di Arkib Negara Malaysia Kedah/Perlis.

Faridah berkata, bahan sejarah berkaitan Kedah itu merangkumi bahan berbentuk fail, gambar, suratan, bahan bercetak, filem, video, piring hitam mahupun dokumen.

Sementara itu, katanya, pihaknya melaksanakan Program Pemerolehan dan Pemeliharaan Bahan Sejarah Negara dalam usaha mengesan dan mengenal pasti bahan sejarah lain.

"Bahan berada dalam simpanan orang perseorangan ataupun badan bukan kerajaan (NGO) akan dikenal pasti untuk diperoleh dan dipindah ke Arkib Negara.

"Setakat ini, kita berjaya mengenal pasti dan memperoleh kira-kira 11,029 unit bahan sejarah negara sepanjang tempoh program berkenaan dilaksanakan sejak 2012," katanya.

Tambahnya, pihak Arkid Negara mengalu-alukan individu mahupun persatuan memiliki bahan sejarah dalam simpanan mereka untuk disumbangkan dan diserahkan kepada Arkib Negara untuk dipelihara.

Sumber: Sinar Harian