Sistem 11 Mata Kelebihan Bagi Pemain Badminton Berpengalaman - Chong Wei

PETALING JAYA - Sistem pemarkahan baharu 11 mata yang dicadangkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan memberi kelebihan kepada pemain berpengalaman.

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata pemain senior seperti beliau dan musuh tradisinya dari China, Lin Dan yang mempunyai kemahiran mengawal perlawanan boleh menguasai sistem pemarkahan menggunakan 11 mata itu.

"Perlawanan 11 mata itu singkat...bagus untuk pemain senior, mungkin sesuai untuk saya dan Lin Dan kerana kita sudah ada pengalaman dan tahu bagaimana nak mengawal permainan," katanya ketika diminta mengulas cadangan BWF itu.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan insentif kepada pemain badminton negara yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, iaitu Chong Wei, beregu campuran Chang Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, di sini Selasa.

BWF baru-baru ini, menggalakkan ahli gabungannya menjalankan ujian percubaan untuk menggunakan sistem pemarkahan baharu 11 mata dalam lima set, menggantikan sistem sedia ada 21 mata dalam tiga set, yang diperkenalkan 10 tahun lepas.

Di bawah sistem baharu itu, BWF memberi dua pilihan sekiranya kedua-dua pemain mencapai 10 mata, iaitu menetapkan kelebihan dua mata atau maksimum 15 mata untuk menentukan pemenang.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga telah menguji sistem itu pada Kejohanan Badminton Remaja Antarabangsa Bawah 19 Tahun di Terengganu, minggu lepas.

Keputusan sama ada sistem itu digunakan atau sebaliknya pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijangka dibuat pada mesyuarat BWF, Mei tahun depan.

Ketika diminta mengulas mengenai jurulatihnya, Chong Wei berkata beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM yang akan bermesyuarat Khamis ini untuk memutuskan perkara itu.

"Dari dulu hingga sekarang, saya tidak pernah pilih jurulatih. BAM sentiasa pilih jurulatih yang boleh bekerjasama dengan saya. Hendrawan, bagaimanapun  mempunyai kelebihan kerana dia juara dunia dan pemenang pingat perak Olimpik," katanya.

Chong Wei berkata fokus beliau seterusnya ialah Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland dari 21 hingga 27 Ogos tahun depan, dan jika prestasinya masih baik, akan membantu skuad negara pada Piala Thomas 2018.

Sumber: mStar