Skuad Helang Merah Tak Mahu Terlalu Yakin


ALOR SETAR - Kemenangan selesa menjadi misi utama skuad Kedah apabila menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, di sini pada 30 September ini.

Pengendali skuad itu, Tan Cheng Hoe berkata anak buahnya perlu fokus untuk memperoleh bekalan gol selesa di tempat sendiri sebelum pertemuan kedua di gelanggang lawan, bagi memastikan kemaraan ke final buat kali kedua berturut-turut.

Namun jurulatih berkenaan tidak mahu pemainnya terlalu yakin dalam perlawanan di tempat sendiri itu kerana ia hanya akan menyulitkan keadaan.

"Kami tidak boleh memandang rendah terhadap PDRM yang sebelum ini berjaya menyingkirkan Kelantan di suku akhir serta menewaskan beberapa pasukan kuat seperti JDT (Johor Darul Ta'zim) dan Perak.

"Kita perlu bermain seperti biasa pada perlawanan itu nanti dan mengekalkan strategi dan corak permainan sama ketika menewaskan Negeri Sembilan.

"Seperti kita ketahui, kualiti jentera serangan dan barisan pertahanan PDRM amat baik dan pemain Kedah perlu fokus serta bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Kedah mara ke separuh akhir selepas menundukkan Negeri Sembilan dengan agregat 5-0.

Pada masa sama, Cheng Hoe juga mahu pasukannya memastikan kemenangan apabila bertemu Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini bagi mengukuhkan kedudukan di Liga Super.

Kedah kini mengumpul 34 mata dan berada pada kedudukan ketiga di belakang juara liga, JDT (52 mata) dan Felda (42).

"Tempoh yang ada selepas perlawanan Liga Super dengan Terengganu ini juga  cukup bagi memastikan pemain mendapat rehat secukupnya sebelum menentang PDRM," katanya. - BERNAMA