SPRM Tahan 5 Anggota JPJ Kedah & Perlis

SUNGAI PETANI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas 4×4 di Kedah dan Perlis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Sumber SPRM berkata kesemua suspek lelaki berusia di antara 34 hingga 48 tahun itu disyaki menerima suapan di antara RM100 hingga RM300 bagi melepaskan pemandu lori yang membawa lebih muatan di Kedah dan Perlis sejak tahun lepas.

Beliau berkata dua daripada suspek itu, yang berjawatan pembantu penguat kuasa di JPJ Kulim, ditahan di antara 11.30 pagi dan 12.10 tengah hari tadi di JPJ Kulim dan dibawa ke pejabat SPRM di sini.

“Tiga lagi suspek bertugas di JPJ Arau, Perlis iaitu dua pembantu penguat kuasa JPJ dan seorang pemeriksa kereta motor dan mereka ditahan di JPJ Arau, kira-kira 12 tengah hari tadi selepas kesemua mereka memberi keterangan di pejabat SPRM Kangar, Perlis,” katanya di sini, semalam.

Sumber itu memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan permohonan perintah tahanan reman untuk kesemua suspek akan dibuat hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya mengesahkan tangkapan itu namun, enggan mengulas lanjut.

Operasi khas itu dijalankan oleh SPRM Kedah dan SPRM Perlis bersama Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. – BERNAMA