Suami Lambat Balik, Isteri Mengamuk Gigit Jari Sampai Putus

MIRI - Hanya gara-gara suaminya balik lambat ke rumah, seorang wanita tidak dapat mengawal perasaan marahnya apabila bertindak gigit jari kelengking mangsa hingga putus.

Kejadian mengejutkan itu difahamkan berlaku di kediaman mereka di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa berusia 26 tahun itu putus jari kelengkeng kiri sepanjang kira-kira satu sentimeter.

Lebih ngeri, wanita berusia 21 tahun itu juga dipercayai menelan jari tersebut.

Menurut seorang sumber kepada Harian Metro, isteri itu bertindak ganas kerana suaminya pulang lewat.

“Ketika kejadian, mangsa baru pulang ke rumah dari membeli barang keperluan harian di sebuah pasar raya.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, wanita itu mengamuk kerana mangsa pulang lewat dan bertindak ganas dengan menggigit jari suaminya.

“Tanpa belas ihsan wanita itu membiarkan suaminya menanggung kesakitan sehingga pagi,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan teruk dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, pagi semalam.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Terdahulu, mangsa pernah membuat laporan di Balai Polis Lutong kerana dibelasah isterinya.

Mangsa berkahwin dengan wanita itu pada tahun lalu dan dikurniakan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan. –Kedahnews.com