ALOR SETAR - Bekas Pegawai Khas Politik kepada Dato' Seri Mukhriz Mahathir sekali lagi menimbulkan persoalan mengapa bekas Menteri Besar Kedah itu masih enggan menjawab cabaran yang mengaitkan dirinya dengan cubaan sabotaj IPO 1MDB.
Haris Che Mat berkata, Mukhriz hanya perlu membuktikan bahawa beliau tidak tahu tentang sebarang gerakan mensabotaj IPO milik syarikat 1MDB seperti yang didakwanya pada 15 Ogos yang lalu.
"Saya buat pertanyaan itu pada 15 Ogos... Sudah 37 hari... Kenapa Mukhriz tidak jawab persoalan dan cabaran saya?
"Jika betul Mukhriz benar, buktikan dia tidak tahu tentang cubaan sabotaj IPO 1MDB yang saya dedahkan. Sumpah atas nama Allah, junjung Al-Quran.. nafikan dia tidak tahu menahu tentang sabotaj tersebut tanpa meletakkan sebarang syarat," tegasnya.
"Jika dia benar, nafikan juga perancangannya untuk menjadi Perdana Menteri dengan bantuan bapanya," cabar Haris, mengulangi cabaran yang dilakukan pada 19 Ogos lalu.
Haris menjelaskan bahawa selaku bekas Pegawai Khas Politik dan Setiausaha Kerja (SUK) UMNO Negeri ketika Mukhriz menjawat jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, adalah mustahil baginya untuk tidak mengetahui tentang gerakan politik anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
"Saya dalam lingkungan politik Mukhriz ketika itu. Saya bekerja sebagai Pegawai Khas dan SUK UMNO Negeri ketika itu.. Mana mungkin saya tidak tahu tentang pergerakan dan hasrat beliau," tegasnya.
Haris berkata, beliau kesal dengan tindakan Mukhriz yang hanya membiarkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar untuk menjawab persoalan dan cabaran yang dibuat.
"Dia suruh Mahfuz yang jawab? Bila Mahfuz yang jawab, maka jadi macam 'Pak Lawak' la yang jawab.. kenapa Mukhriz tak jawab sendiri?," soalnya lagi.
Haris pada 15 Ogos lalu dalam satu sidang akhbar mengaitkan Mukhriz dengan gerakan sabotaj terhadap IPO milik 1MDB dan mendakwa bekas Menteri Besar itu sedang melakukan gerakan politik mendapatkan jawatan tertinggi UMNO secara 'fast track'.
"Fast track yang saya maksudkan adalah dengan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara dan Mukhriz ambil alih jawatan itu nanti, hasil dari perancangan Mahathir.
"Bukan sekadar Dato' Seri Najib, malah Dato' Seri Zahid Hamidi dan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein yang selama ini setia pada UMNO pun akan 'dicantas', sedangkan mereka antara yang kuat bekerja tanpa sebarang karenah yang merosakkan UMNO," katanya lagi.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa Mukhriz enggan melayan dakwaan bekas Pegawai Khas Politiknya itu dengan memberi alasan Haris merupakan salah seorang kawannya dan tidak akan melakukan sebarangg tindakan undang-undang.
"Jika dia enggan melayan soalan dan cabaran saya, maka apa maksudnya?," tanya Haris mengenai reaksi Mukhriz ketika mengulas dakwaan tersebut dalam satu kenyataan di sidang Dun Kedah, bulan lalu.
Menjawab persoalan mengapa Haris enggan bersama Mukhriz lagi, beliau menjelaskan bahawa dirinya hanya setia pada UMNO sahaja dan tidak kepada mereka yang khianat pada parti, khususnya mereka yang menubuhkan parti baru untuk menjatuhkan UMNO.
"Saya tiada apa-apa kepentingan. Saya orang parti dan setia pada parti. Saya takkan rosakkan UMNO. Saya takkan jejaskan imej pemimpin UMNO. Jika saya tak puas hati, saya pergi jumpa dan beritahu secara tertutup.
"Tapi Mukhriz lain. Dia sanggup burukkan imej parti dan institusi Presiden. Walau dinasihat, dia teruskan juga. Bila dia dipecat, dia salahkan Presiden lagi. Padahal dia yang buat hal. Zaman bapanya dulu siapa yang yang buat hal macam ini, sudah tentu dipecat serta merta.
"Sekarang dia dah tubuh parti baru dan mahu jatuhkan UMNO. Saya Naib Ketua UMNO Bahagian maka wajib bagi saya mempertahankan parti saya. Walaupun Mukhriz sahabat saya, tapi dia juga kini musuh politik saya dan jutaan ahli UMNO yang lain," tegas Haris. -Kedahnews.com