LANGKAWI - Polis Langkawi berjaya menyelesaikan kes penemuan mayat seorang pemandu teksi warga emas yang dipercayai dibunuh Selasa lepas berikutan tertangkapnya seorang penagih dadah wanita kelmarin.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata wanita berumur 23 tahun itu diberkas di Padang Matsirat dan semasa siasatan awal suspek mengakui memukul mangsa yang dikenali sebagai Othman Arshad, 65, di dalam sebuah rumah di Kampung Bubor, Temoyong di sini.
"Suspek mendedahkan telah memukul si mati dengan menggunakan batu bata sebanyak empat ke lima kali dan melarikan diri kerana ketakutan," katanya di sini semalam.
Menurutnya, hasil bedah siasat ke atas si mati juga mendapati mangsa telah mengalami kecederaan retak tulang muka.
Katanya siasatan yang dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu setakat ini mendapati motif kes ini adalah disebabkan perselisihan ekoran rasa tidak puas hati suspek terhadap si mati.
Che Ghazali berkata pergaduhan di antara kedua-duanya sehingga menyebabkan kematian Othman itu dipercayai berlaku beberapa hari sebelum mayatnya ditemukan.
Katanya suspek itu kini ditahan reman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan sebelum didakwa di mahkamah.
Ini merupakan kes pembunuhan pertama yang berlaku di Langkawi sejak 10 tahun lalu selepas seorang penganggur membunuh dua orang wanita warga Thailand pada tahun 2006.
Dalam kes itu, Leong Heng Kuang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada tahun 2013 selepas disabitkan kesalahan membunuh kekasihnya, Kaemika Pusuvan, 40, dan seorang wanita lain Phordee Seemuang, 43, di Kampung Kelibang, Langkawi. - Bernama