Tak Mampu Bayar, Pemilik “Ghaibkan” Kereta Mewah Di Siam

BANGKOK – Disebabkan tidak mampu menjelaskan bayaran pinjaman bulanan atau insurans kereta mewah mereka, ada di kalangan pemilik kenderaan terbabit membawanya masuk ke Thailand dan menjualnya kepada pihak-pihak tertentu di negara jiran itu.

Tindakan pemilik kereta mewah itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penyerahan 20 kereta mewah negara yang ditemui Polis Thailand untuk dihantar kembali ke Malaysia di ibu pejabat Polis Diraja Thailand di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Wuthi Liptapallop menyerahkan kenderaan terbabit dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain.

Mohmad berkata polis sedang menyiasat “fenomena baru” jenayah berkaitan kenderaan itu.

“Kerana tidak mampu membayar pinjaman bulanan atau insurans kereta mewah mereka, pemilik menyeludupnya ke Thailand dan menjualnya kepada pihak tertentu (di Thailand) untuk memperoleh wang.

Apabila pihak bank atau insurans mahu merampas kereta mewah itu, mereka bukan sahaja gagal menemui kenderaan itu kembali manakala pemiliknya pula telah menghilangkan diri,” katanya.

Menurut Mohmad, pemilik kereta mewah terbabit juga tidak membuat sebarang laporan mengatakan kenderaan mereka telah dicuri, seolah-oleh ia “hilang” begitu sahaja.

Pihak polis, katanya, akan mengadakan perbincangan dengan pihak bank serta Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) bagi menangani “fenomena baru” tentang “kehilangan” kereta-kereta mewah itu.

“Saya juga telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk menyiasat dan melakukan kajian tentang kes-kes ini kerana modus operandinya adalah sesuatu yang baru,” katanya dan menambah, jenayah itu menyebabkan kerugian kepada negara.

Mengenai majlis hari ini, beliau berkata, penyerahan semula kereta-kereta itu menunjukkan kerjasama dan hubungan yang erat di antara Polis Thailand dan Bukit Aman.

Beliau menjangkakan lebih banyak kejayaan bakal dikecapi pasukan polis kedua-dua negara dalam menangani masalah jenayah rentas sempadan.

Mohmad juga berkata, pegawai kanan polis kedua-dua negara akan bertemu di Kuala Lumpur pada November ini dalam satu mesyuarat bersama untuk menangani isu-isu berkenaan jenayah rentas sempadan.

Katanya, isu tentang jenayah rentas sempadan kini amat luas dan tidak hanya meliputi penyeludupan dadah, senjata dan manusia tetapi juga berkenaan penyeludupan bahan toksik dan ubatan palsu.

Sementara itu, Nazirah berkata, majlis penyerahan kereta-kereta mewah hari ini di antara Polis Diraja Thailand dan Polis Diraja Malaysia merupakan bukti kepada hubungan dua hala yang baik antara Kuala Lumpur dan Bangkok.

Dalam satu kenyataan Polis Thailand pula, ia berkata sebanyak 75 kenderaan yang dicuri di Malaysia tetapi ditemui semula di Thailand telah diserahkan kepada Polis Malaysia pada tahun lepas.

Katanya, 20 buah kenderaan mewah yang diserahkan kepada Polis Malaysia hari ini dianggarkan bernilai 20 juta Baht (RM2.2 juta). – BERNAMA