DUBAI – Jika anda makan angin ke Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi, anda akan ada satu lagi tempat menarik untuk menghabiskan cuti anda di sana.
Dubai Parks and Resorts mengumumkan bahawa taman tema terbesar bagi rantau Timur Tengah akan membuka pintunya kepada orang ramai pada 31 Oktober ini. Demikian menurut laporan Emirates News Agency.
Destinasi unik tersebut malahan akan terdiri daripada tiga taman tema yang berbeza – Bollywood Parks Dubai, MOTIONGATE Dubai serta LEGOLAND Dubai dan LEGOLAND Water Park.
Taman tema itu juga akan termasuk Riverland Dubai, yang menawarkan tempat-tempat bertema menjamu selera, membeli-belah dan hiburan, serta Hotel Lapita, resort keluarga bertemakan Polynesia.
“Keseluruhan ciri-ciri dan harga yang dikenakan di destinasi itu akan diumumkan tidak lama lagi. Ia sudah lama dirancang, dan kami begitu teruja untuk menyambut para tetamu kami kepada destinasi ini yang menawarkan pengalaman menakjubkan.
“Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini, dan kami menantikan untuk menawarkan para pengunjung hampir 100 permainan, daya tarikan dan pengalaman,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Parks and Resorts, Raed Kajoor Al Nuaimi.
“Sebagai destinasi hiburan terbesar di rantau ini, ia akan mewujudkan banyak pekerjaan di Dubai, menyokong visi pelancongan UAE dan mengembangkan industri riadah keluarga di rantau ini,” tambahnya. – Bernama