KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur berjaya menahan seorang lelaki dipercayai orang kanan kumpulan kongsi gelap 'Double Seven' (77) di Taman Rashna, Klang, Khamis.
Sumber polis berkata lelaki berusia 38 tahun dikenali sebagai Tiger Snook, ditahan kerana mencederakan orang di dua premis hiburan di sekitar Dang Wangi di sini pada bulan lepas.
"Lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan pernah terlibat dalam pergaduhan di tapak pasar malam di Klang dengan menunjukkan objek menyerupai pistol pada bulan Ramadan lalu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Hasil risikan polis, Tiger Snook yang dipercayai aktif melakukan aktiviti memeras ugut dan meminta wang perlindungan di sekitar Klang itu berjaya ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur.
Pada 31 Ogos lepas, Tiger Snook juga dipercayai telah menumbuk dan menendang seorang pelanggan di luar sebuah premis hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini pada pukul kira-kira 1.30 pagi kerana berlaku salah faham.
Lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya.
Sumber: mStar