Tips: Cara Tuntut Hak Rumah Bagi Pasangan Bercerai - Peguam


HARTA sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama atau dihasilkan atas perkongsian pasangan suami isteri dalam tempoh perkahwinan.

Namun sudah pasti ramai diluar sana mengalami masalah pembahagian harta apabila perkahwinan yang dibina itu berakhir tetapi aset yang dimiliki dinamakan bersama.

Sudah pasti jika ianya dibiayai bersama-sama memerlukan pembahgian secara adil, tetapi bagaimana pula jika hanya satu pihak sahaja membayar harta tersebut terutamanya bekas isteri?

Adakah dia layak untuk memiliki harta berkenaan disebabkan hanya dia sahaja yang membayar secara bulanan atas pinjaman yang dilakukan?

Oleh itu, seorang peguam yang merupakan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Tuan Salkukhairi Abd Sukor di laman Facebook tampil mengupas dan memberikan penyelesaian berkenaan perkara ini.

Sila baca penyelesaianya buat mereka yang menghadapi masalah pembahagian harta ini di bawah; - Kedahnews.com


Saya biasa diajukan soalan seperti berikut:

“Masa saya beli rumah ni, letak dua nama dalam geran, nama saya dan suami. Tapi loan saya bayar sorang-sorang, potong gaji bulan bulan.”

“Sekarang saya dan suami dah tak tinggal serumah lagi. Ada cara tak untuk tukar nama rumah ni pada nama saya seorang sahaja.?”

Suami pun kata nak tuntut hak pada rumah tersebut sebab katanya nama dia ada dalam geran.
Macam mana ya tuan, apakah cara untuk selesaikan masalah saya ini?”

Isu ini saya kategorikan sebagai “Kes terlebih sayang suami”.

Sebenarnya, ada jalan penyelesaiannya dari segi perundangan. Nak tahu tak macam mana jalan penyelesaiannya jika berhadapan dengan masalah di atas?

Jika anda mengalami situasi di atas apa yang anda patut lakukan adalah:

1. Jika anda telah bercerai, melalui peguam syarie yang dilantik, anda boleh failkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk satu perintah pengesahan harta sepencarian.

Anda hendaklah mengemukakan bukti-bukti di Mahkamah Syariah bahawa rumah tersebut di biayai oleh anda seorang tanpa penglibatan sumbangan daripada suami.

2. Anda juga boleh memohon satu perintah agar bahagian suami yang ada di dalam geran tersebut di pindahmilikkan kepada anda dan satu perintah untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menandatangani Borang Pindahmilik untuk memindahmilikkan bahagian suami tersebut kepada anda.

3. Sekiranya rumah tersebut telah habis pembiayaan dengan bank, dengan perintah Mahkamah Syariah tersebut mereka boleh terus menandatangani Borang Pindah milik itu untuk memindahmilikkan bahagian suami tersebut kepada anda. Dan borang pindahmilik tersebut bolehlah selepas pembayaran duti stem pindahmilik dibuat, terus didaftarkan di Pejabat Tanah yang berkenaan.

4. Jika rumah tersebut masih belum habis pembiayaan dengan bank, dengan perintah daripada
Mahkamah Syariah tersebut anda boleh memohon daripada bank untuk “meminjam sementara” geran asal untuk membolehkan pindah milik dibuat kepada nama anda.

Dan geran asal tersebut hendaklah dikembalikan semula kepada bank setelah pindah milik kepada nama anda seorang didaftarkan dalam geran tersebut.

5. Kini jadilah rumah tersebut milik anda seorang sahaja. -Kedahnews.com