Undang-Undang Islam Mengatasi Yang Lain

SEBAGAI pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, penulis tidak dapat lari daripada bersemuka dengan ahli parti politik, sama ada kerajaan atau pembangkang bagi membincang dan melontarkan idea demi memartabatkan Islam. Sebagai pemimpin mereka dirujuk untuk pelbagai persoalan bagi mendapatkan penyelesaian.

Dalam Islam, seorang pemimpin yang baik adalah sentiasa berusaha menegakkan Islam dalam kepemimpinannya. Usaha dilakukan menjadi bukti komitmen seseorang itu terhadap Islam.

Tidak perlulah diingatkan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja perlu dipertahankan malah dipertingkatkan supaya menampakkan keindahan Islam sebagai sebuah tatacara kehidupan yang lengkap.

Kebelakangan ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat Malaysia mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Fenomena ini sangat baik kerana rakyat celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ruangan kali ini cuba mengupas kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara berada dalam keadaan darurat dan tidak aman. Hal ini dengan jelas diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

TIDAK BOLEH DIGANGGU GUGAT

Secara tersirat, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara tidak diperuntukkan perlembagaan.

Bagi undang-undang Islam ia termasuklah Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapapun boleh mempertikaikan undang-undang disebutkan itu.

Keistimewaannya tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 59 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Keutuhan undang-undang Islam ini amat jelas kerana sekalipun negara berada di dalam keadaan darurat, undang-undang Islam tidak akan langsung terjejas malah akan tetap dilaksanakan berbeza dengan undang-undang lain yang akan tergantung dalam keadaan darurat.

Ini bermakna undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah masih boleh dilaksanakan dan orang Islam masih boleh mengamalkannya walaupun negara di dalam keadaan darurat dan undang-undang lain digantung.

Inilah keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang berkenaan.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang ini yang mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Adalah penting bagi rakyat bukan sahaja mengetahui hak mereka, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat atau destinasi akhir kita tetapi hanya alat bagi mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum perlembagaan wujud.

Perlembagaan Persekutuan hanya mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini. Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat. Parameter digariskan Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihayati kerana tanpanya negara mungkin goyah.

Walau apapun idea atau perjuangan yang ingin dibawa oleh mana-mana pemimpin, ia hendaklah memastikan kedudukan Islam dan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan-perlembagaan negeri tidak terhakis.

Tidak dapat dinafikan terdapat perbezaan antara rakyat negara ini, tetapi perbezaan itu hendaklah dilihat dari aspek positif iaitu menjadi kekuatan kepada pembinaan negara ulung Malaysia dan bukan kelemahan negara. Kita hendaklah bersatu di dalam perbezaan itu. Adalah mustahil kita bersatu tanpa sebarang perbezaan.

Dalam setiap keputusan seorang pemimpin, kayu pengukur yang hendak digunakan adalah Islam. Islam adalah rahmat ke seluruh alam. Dengan piawaian Islam sudah pasti kemakmuran negara dan kedaulatan Islam akan berjalan seiring.

Walaupun penyelesaian yang ingin dicapai adalah berkaitan dengan undang-undang kekeluargaan, kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan undang-undang Islam pada kedudukan yang lebih ampuh hendaklah diberikan maksudnya yang sebenar.

Masyarakat majoriti hendaklah tidak menindas masyarakat minoriti manakala yang minoriti pula hendaklah menghormati yang majoriti apatah lagi perkara-perkara yang telah disepakati lebih 50 tahun dahulu.

Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini. Namun kedudukan tinggi ini tidaklah bermakna orang bukan Islam didiskriminasikan atau dinafikan hak mereka.

Perkara 150 (6a) menegaskan enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu:

1. Hak berkaitan undang-undang Islam.

2. Adat Melayu.

3. Kebebasan beragama,

4. Hak kewarganegaraan.

5. Undang-undang adat di Sabah dan Sarawak.

6.Hak berkaitan bahasa.

Tidak keterlaluan dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

Natijahnya, sewajarnya jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi daripada undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Sumber: Utusan