Usaha Atasi Masalah Banjir Di Kulim-Bandar Baharu

Pam air sedia ada sudah lama, berkapasiti rendah dan perlu ditambah baik
KULIM - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim-Bandar Baharu sedang membangunkan enam rumah pam termasuk menaik taraf tiga pam sedia ada membabitkan kos RM78.2 juta merentasi kawasan Bandar Baharu bagi mengatasi masalah banjir kilat di situ.

Juruteranya, Mohd Idrus Amir berkata, kebanyakan rumah pam yang ada di kawasan itu menggunakan pam lama dan berkapasiti rendah untuk mengawal pengaliran air keluar dan masuk terus ke dalam Sungai Kerian.

Menurutnya, dengan pembinaan enam lagi rumah pam dilengkapi pam berteknologi baharu dan berkeupayaan tinggi di sepanjang sistem perairan, termasuk Sungai Kerian dan skim pengairan sawah padi di sini, masalah banjir kilat di seluruh Bandar Baharu akan diselesaikan.

“Kita dapati masalah banjir kilat yang membelenggu penduduk di sini disebabkan masalah pam air yang terdapat di situ kerana usianya sudah lama dan tidak dapat menampung kapasiti air dalam satu-satu masa.

“Jadi kita perlu tambah baik pam tersebut dengan pam baharu yang lebih cekap dan efisien untuk menampung pengaliran air dari Bukit Tebuan yang melalui skim pengairan sawah atau sungai, terutama ketika hujan lebat,” katanya.

Mohd Idros berkata, antara kawasan yang terlibat adalah tiga rumah pam baharu di rancangan tebatan banjir (RTB) iaitu di Dataran Pekan Bandar Baharu ia telah pun siap, di Kampung Bagan Samak dan Parit Nibong dihentikan seketika kerana mengalami beberapa masalah teknikal.

Katanya, tiga kawasan rumah pam yang sedia ada dan terlibat di bawah Bahagian Pengurusan Elektrikal dan Mekanikal (BPEM) pula akan dinaiktaraf dengan menambah sebuah pam baharu.

“Tiga rumah pam sedia ada di Permatang Pasir, Jalan Ban Syariah dan Kampung Asam Kumbang akan ditambahbaik dengan meletakkan satu lagi pam untuk memastikan proses pengaliran air lebih efisien supaya banjir kilat dapat dielakkan,” katanya.

Tambahnya, kesemua projek itu dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun depan, sekali gus masalah banjir yang membelenggu penduduk akan dapat diselesaikan.

“Jadi kita minta penduduk terlibat bersabar kerana kita sedang berusaha selesaikan masalah mereka dengan membina rumah pam dan tambah baik pam sedia ada, ”katanya.

Selain itu, beliau berkata, JPS juga mengambil langkah jangka masa pendek dengan membersihkan kawasan saliran seperti parit untuk melancarkan pengaliran air.

“Kita juga bersihkan semua parit di kawasan kampung di sini, supaya air hujan dan bukit mengalir dengan lancar dan membantu mengurangkan masalah banjir kilat,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini ada melaporkan penduduk di kawasan Mukim Bagan Samak resah dengan keadaan banjir kilat semakin teruk dan mendakwa sistem perparitan menjadi punca selain rumah pam yang tidak berfungsi dengan baik.

Dalam perkembangan lain, Mohd Idrus juga berkata, masalah banjir di Kampung Gunung Bongsu, Karangan bukan di bawah bidang kuasa JPS untuk membina semula terowong merentasi Sungai Sang yang didakwa punca berlaku banjir kilat.

“Ini bukan bawah bidang kuasa pihak kita, kita dapati banjir tersebut berpunca daripada kerja-kerja pembalakan kerajaan negeri terdahulu yang menyebabkan air larian permukaan dipenuhi lumpur.

“Selain itu masalah utama lain juga disebabkan jambatan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kecil dan sempit sehingga tidak mampu salirkan air keluar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian