Video: "Mukhriz Nak Bertanding Di Kedah? You're Welcome" - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dialu-alukan untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri di Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah menegaskan bahawa Mukhriz berhak menentukan di mana saja yang beliau suka untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti dan

"You're welcome.. you're welcome... Dia nak bertanding di mana? Kalau dia nak bertanding di Parlimen Jerlun, you're welcome... nak bertanding Dun yang sekarang ni, dia nak jadi Menteri Besar, you're welcome.

"Kalau dia tak confident, dia nak pi dok dekat Kubang Pasu tempat pak dia dok 22 tahun, you're welcome to Kubang Pasu... no harm," katanya menegaskan pendirian beliau yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri di sini, petang tadi.

Ahmad Bashah berkata, bekas Menteri Besar itu berhak memilih mana-mana kerusi untuk ditandingi meskipun memilih untuk menentangnya di Dun Bakar Bata.

Pendirian tersebut turut disokong padu oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaakob yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang yang menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan kelibat Mukhriz di Kedah.

"Betul.. betul.. mana-mana tempat yang dia suka, kita bukannya ada kuasa nak halang," kata Suraya menyokong penuh pendirian Ahmad Bashah yang hadir dalam program Bicara Santai Wanita Bersama Menteri Besar Kedah yang diadakan bersempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan @ Kedah dan Karnival Perwani di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, hari ini.

Mukhriz hari ini menafikan spekulasi yang mengatakan beliau akan bertanding di Putrajaya, sebaliknya mengatakan akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dun di negeri Kedah, namun tidak mendedahkan kawasan mana yang bakal ditandingi pada PRU ke-14 nanti.

Spekulasi yang tercetus mengatakan Mukhriz berkemungkinan bakal bertanding di kerusi Parlimen Jerlun, Kubang Pasu atau Langkawi, dan akan cuba mengekalkan kedudukan Adun Ayer Hitam dengan bertanding di Dun tersebut. -Kedahnews.com