Video PATI: PDRM Sudah Kenal Pasti Anggota Terbabit

KECOH di media sosial baru-baru ini susulan pendedahan sebuah stesen televisyen dari Indonesia yang memaparkan ratusan pendatang tanpa izin (PATI) memasuki negara ini melalui perairan negara di Tawau, Sabah.

Program berbentuk penyiasatan yang dijalankan wartawan televisyen TransMedia merakamkan tenaga kerja Indonesia (TKI) masuk secara haram ke Malaysia selain menyelongkar perjalanan PATI dipermudahkan dengan memberi rasuah antara RM50 hingga RM100 kepada pihak berkuasa negara ini.

Dalam video yang berdurasi 10 minit itu, PATI dibawa menaiki bot kecil dan perlu menunduk bagi menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa.

Turut dapat dilihat dalam rakaman tersebut, sebuah bot yang tertulis POLIS namun tiada tindakan dilakukan walaupun sudah jelas memperlihatkan bot kecil itu membawa puluhan PATI.

Pendedahan video tersebut turut menamakan daerah Batu Tawau didakwa sebagai tempat ratusan PATI masuk ke negara ini tidak mengira waktu selain beberapa laluan tikus lain.

Berita Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti anggota yang terbabit dan siasatan masih dijalankan secara terperinci.

“Kertas siasatan sudah dibuka termasuk mengenal pasti semua watak, gambaran lokasi yang didakwa menjadi laluan tikus selain kenderaan yang digunakan dalam video itu,” katanya.

Beliau mengakui ada PATI yang masih lolos melalui laluan tikus dan laluan haram di sepanjang persisiran pantai dan perairan namun pelbagai usaha dan operasi bersepadu dijalankan untuk membanteras masalah berkenaan termasuk merobohkan penempatan haram di perkampungan air. –Kedahnews.com