VIDEO: Peguam Tunjuk "Jari Tengah" Disorak Peserta Wacana


Seorang peguam ‘menghadiahkan’ isyarat lucah selepas ucapannya diganggu orang ramai yang menghadiri program Wacana Sinar Harian di Shah Alam, semalam.

Video Siti Kasim yang berdiri ketika sesi soal jawab itu menjadi viral di media sosial yang rata-ratanya terkejut dengan reaksi Siti sebagai seorang peguam.

Siti yang berdiri pada sesi joal jawab Forum ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi’  ketika itu memberikan pandangan berhubung hukum hudud yang dianggap cara untuk membesarkan kuasa Mahkamah Syariah.

Dia berpendapat, sekiranya RUU tersebut diluluskan, secara automatik hukum hudud di Kelantan dan Terengganu akan terlaksana.

Ini sekaligus bercanggah dengan undang-undang sivil di mana seseorang individu berumur 50 tahun ke atas tidak perlu dihukum sebat manakala hudud menetapkan pesalah lelaki dan perempuan boleh dihukum sebat sehingga 100 kali.

Dia turut menuntut penjelasan daripada pemimpin Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menjadi ahli panel forum untuk menerangkan mengapa dia (Siti) perlu mengikut undang-undang yang ditafsir oleh parti itu.

“Saya seorang Melayu dan seorang Islam, kenapa saya perlu dikawal oleh orang-orang begini. Ini antara saya dengan Tuhan, kenapa saya perlu mengikut Islam kamu?” soalnya.


Turut menjadi panel jemputan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Dr Tan Seng Giaw dan Naib Presiden MCA Gan Peng Sieu.

Penerangan Siti kemudiannya diganggu dengan ejekan dan bunyi bising daripada peserta forum yang mungkin tidak berpuas hati dengan caranya.

Bagaimanapun, peserta wacana berkenaan kemudiannya menerima kejutan apabila sebagai ‘penutup’ ucapannya Siti ‘menghadiahkan’ isyarat jari tengah sebagai tanda marah dengan ejekan mereka.

Siti Kasim yang juga seorang aktivtis pernah ditahan polis kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan melakukan intimidasi jenayah ketika menghadiri sebuah majlis anjuran golongan transgender di ibu negara, baru-baru ini. –Kedahnews.com