VIDEO: Polis Sahkan Nur Darleen Dazeera Sudah Ditemui


KAJANG – Pelajar tingkatan tiga yang dilaporkan dilarikan oleh dua lelaki yang menaiki motosikal ditemui dalam keadaan selamat kira-kira pukul 2.15 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, Nur Darleen Dazeera Azhar ditemui berjalan kaki sendirian di tepi jalan oleh orang awam berdekatan sebuah pasar raya di Kajang.

Menurutnya, pelajar berusia 15 tahun berkenaan ditemui kira-kira 3.4 kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan telah dilarikan oleh dua lelaki bermotosikal itu.

“Pelajar ini dilihat berjalan seorang diri di tepi jalan masih lagi dalam keadaan berbaju seragam sekolah iaitu kira-kira tujuh jam dilaporkan hilang.

“Mangsa kemudian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk diambil keterangan,” kata Othman dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras itu ditemui seorang wanita yang dikenali sebagai Juliana.

Ketika ditemui, Nur Darleen dikatakan dalam keadaan terkejut dan menangis ketakutan.

Pelajar itu dihantar ke rumahnya di Suasana 4/2, Bandar Tun Hussein Onn serta diiringi suasana sedih dan gembira menyelubungi penyatuan semula mangsa dengan keluarga.

Kira-kira jam 7 pagi tadi, Nur Darleen didakwa dilarikan dua lelaki yang menaiki motosikal ketika sedang menunggu van untuk ke sekolah. –Kedahnews.com