Video Viral: Beruang Bawa Anak "Tumpang Berkelah" Di Tasik Tahoe


Musim panas yang melanda Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja memberi banyak kesan kepada kehidupan manusia, malah turut melibatkan haiwan-haiwan liar yang tidak dapat menahan bahang panas yang memeritkan.

Baru-baru ini, penduduk di California dikejutkan dengan kehadiran keluarga tiga ekor beruang hitam yang selamba sahaja ‘bermandi-manda’ di tasik Tahoe.

Memetik laporan portal RT,  aksi beruang betina yang dilihat bermain air bersama dua anaknya itu telah menarik perhatian pengunjung yang kebetulan berada di persisiran pantai.

Ramai dilaporkan mengambil kesempatan merakamkan gelagat ketiga-tiga beruang hitam tersebut dari jarak jauh, namun tidak ada yang berani menghampiri mereka.

Seorang pengunjung, Pallas Buckley yang melihat kejadian merasakan amat terkejut pada mulanya. Namun kemudian menyatakan ‘suasana’ ketiga-tiga beruang hitam itu tidak ubah seperti sebuah keluarga bahagia yang sedang berkelah.

Sekeluarga beruang itu kemudian dilihat kembali semula ke hutan seakan-akan penuh dengan kegembiraan.

Netizen tempatan menyatakan sangat gembira manusia dan haiwan berenang bersama dengan penuh keceriaan di tasik. – Kedahnews.com