Sebuah rakaman video seorang lelaki berusia pertengahan menengking seorang kanak-kanak kerana membaling buah mangga sehingga mengenai keretanya, mengundang pelbagai reaksi dan kritikan daripada pengguna sosial media.
Video yang dimuat naik oleh WhatsApp’s Videos di laman Facebook itu mendapat lebih daripada 13,000 perkongsian dan ditonton sebanyak 565,000 kali.
Berdasarkan video, lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu berang kerana ini merupakan kejadian kali ketiga di mana keretanya dibaling dengan objek tumpul di kawasan perumahan itu.
Kanak-kanak terbabit pula dikatakan tidak sengaja membaling buah mangga sehingga terkena kereta lelaki itu, namun perkara tersebut disangkal olehnya dengan mengatakan ia bukanlah kejadian kali pertama berlaku.
“Aku dah kena kali ketiga ni… Tolonglah jaga anak tu, tolonglah jaga,” ujar lelaki berkenaan.
Ibu kanak-kanak itu lalu meminta maaf di atas tindakan anaknya itu dan mahu membayar ganti rugi sekiranya mempunyai kerosakkan.
Tetapi akibat terlalu marah, lelaki itu berterusan memarahi kanak-kanak terbabit termasuk mengur si ibu agar menjaga anaknya untuk tidak berbuat demikian di masa akan datang.
Tinjauan kami diruangan komen juga mendapati netizen memberikan pelbagai reaksi berhubung kejadian ini.
Rata-ratanya menyifatkan ibu kepada kanak-kanak itu terlalu memanjakan anak dan tidak kurang juga menegur sikap lelaki berkenaan yang terlalu baran.
“Memang ada point pakcik itu cakap. Baling dua tiga kali. Bukan tak sengaja tu. Cuma yang tak kenanya, pakcik itu baran sangat. Mungkin boleh lebih berdiplomasi. Niat dia mungkin nak beritahu dan tegur tetapi bila marah sudah menguasi diri, beginilah.
“Tetapi kita sebagai ibu bapa kena selalu tengok anak-anak. Kadang-kadang budak ingat perkara-perkara seperti itu suka-suka buat gurauan. Kesan buruk mereka belum boleh fikir. Budak-budak hari ini memang adventures. Once anak kita buat benda tak baik itu memang salah. Melentur buluh dari rebungnya. Cuma anak kakak ini tersalah gurau dengan pakcik ini. Berlapang dadalah, walau pahit, terima hakikat anak buat salah.” kata Nur Alia Nur.
“Bagi saya, memang salah budak itu. Mak bapa sekarang ini kalau anak mereka buat salah, memang cover baik punya. Itu pasal budak-budak sekarang semakin naik kepala. Apa yang pakcik itu cakap, betul. Ajar anak-anak tu sikit. Nak beranak sampai 10 pun tak mengapa tetapi ajar anak-anak itu jangan sampai terbiar dan tiada sibik.
“Kalau tak dididik, dia lagi kurang ajar. Kalau kena pada kereta sesiapa pun, mesti pemiliknya akan marah. Memang tak kemik, pecah, cuba kalau kemik dan pecah betul-betul? Baru nak heboh satu kampung? Itulah masyarakat kita sekarang. Sikap tak jadi, tak apa, bila sudah jadi baru nak ternganga? Inilah masyarakat Malaysia, yang betul disalahkan, yang salah dibiarkan. Buta ke apa?” kata Ralph Edge.
“Kalau saya dulu, di depan pakcik ini juga ayah akan pukul dengan batang paip getah sebab memalukan mak ayah macam tak reti ajar anak,” kata Puan Sri Hanim.
“Sesiapa yang backup budak itu sangat, mohon selepas ini suruhlah budak itu duduk di tepi jalan. Bolehlah baling batu pada kereta mereka sebab mereka okay, bertoleransi tinggi. Baling sampai pecah cermin kereta pun boleh berbincang sambil ketawa berdekah-dekah. Gasak koranglah, dah kena nanti jangan pula meroyan,” kata Molly Yana. -Kedahnews.com